Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain menunjukkan rampasan pelbagai jenis dadah yang dianggarkan berjumlah RM8.09 juta menerusi enam serbuan berasingan ketika di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 29 NOVEMBER 2021.

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah yang didalangi warga tempatan menerusi enam serbuan berasingan di sekitar negeri ini pada 22 November lalu.

Sindiket terbabit berjaya dibongkar menerusi serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, serbuan yang dijalankan bermula pukul 12.10 tengah hari sehingga 4.30 petang itu turut berjaya membongkar makmal mini di sebuah rumah kedai di Bukit Puchong.

Menurutnya, seramai 10 suspek warga tempatan berusia lingkungan 22 hingga 42 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pemprosesan dan pengedaran dadah jenis heroin dan pil ekstasi di sekitar Lembah Klang diberkas menerusi serbuan berkenaan.

“Hasil serbuan, JSJN telah berjaya merampas sejumlah 19.7 kilogram (kg) dadah jenis ‘heroin base’, 43.1 kg dadah jenis heroin, 3.2 kg pil ekstasi dan 110 kg serbuk dadah MDMA yang dianggarkan bernilai RM8.09 juta.

“Ini adalah satu kejayaan yang besar kerana kita dapat menumpaskan satu sindiket yang memproses dadah menggunakan makmal mini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.

Dalam pada itu, beliau berkata, sindiket terbabit disyaki bergiat aktif sejak enam bulan lalu dan bekalan dadah berkenaan dipercayai di peroleh daripada kawasan Segi Tiga Emas (Golden Triangle).

Antara rampasan pelbagai jenis dadah yang dianggarkan berjumlah RM8.09 juta menerusi enam serbuan berasingan ketika di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 29 NOVEMBER 2021.

“Berdasarkan siasatan, setiap minggu mereka boleh memproses ‘heroin base’ sehingga empat kali yang dipercayai boleh menghasilkan tiga kali ganda keuntungan.

“Dianggarkan kesemua dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 1.8 juta individu dengan menyasarkan pasaran tempatan,” ujarnya.

Tambah Razarudin, menerusi serbuan yang dijalankan pihaknya turut merampas dan menyita pelbagai jenis kenderaan mewah, barang kemas, saham, wang tunai serta tindakan membekukan akaun bank.

Antara kenderaan yang berjaya dirampas dalam satu kes memproses pelbagai jenis dadah yang dianggarkan berjumlah RM8.09 juta menerusi enam serbuan berasingan ketika di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 29 NOVEMBER 2021.

Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dianggarkan berjumlah RM10.129 juta, katanya.

“Dalang sindiket kita masih siasat dan daripada risikan, dalang ini juga buat (jalankan kegiatan) ah long. Jadi kenderaan-kenderaan yang dirampas ini adalah kenderaan di mana orang meminjam duit yang tak boleh bayar dan dia (sindiket) akan ambil,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, semakan yang dibuat mendapati lapan suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkait kes dadah dan jenayah.

Katanya, seorang suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine, amfetamin dan ketamin.

“Suspek direman selama lima hingga 11 hari bermula 23 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette