KUALA LUMPUR – Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan sudah bersedia menghadapi provokasi di atas padang daripada pemain Perancis pada aksi suku akhir Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja (JWC) Lelaki 2021 di Bhubaneswar, India, esok.

Pengurus pasukan, I. Vikneswaran berkata, perancangan rapi dibuat ketua jurulatih Wallace Tan termasuk merangka strategi dari segi mental dan fizikal bagi memberi tentangan kepada Perancis yang dikhabarkan gemar membangkitkan emosi pemain lawan.

“Kami bukan sahaja harus bersedia dari segi taktikal dan teknikal, bahkan kekuatan fizikal kerana seperti diketahui Perancis mempunyai kelebihan dari segi saiz badan pemain yang lebih besar selain gemar melakukan provokasi dengan memecahkan emosi pemain,” katanya dalam satu rakaman video dikongsi kepada media.

Bukan itu sahaja, Vikneswaran mengingatkan pasukan negara agar lebih berwaspada dengan Perancis yang ternyata handal lebih-lebih lagi selepas cemerlang mengejutkan tuan rumah yang juga juara bertahan, India 5-4 dalam saingan Kumpulan B pada Rabu lepas.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan beberapa pemain yang dilapor mengalami kecederaan di bahagian kepala dan lutut ketika membantu pasukan melakar kemenangan dramatik ke atas Afrika Selatan 4-3 dalam aksi terakhir Kumpulan A pada Sabtu lepas, juga beransur pulih dan bersiap sedia menghadapi Perancis esok.

Kejayaan mara ke suku akhir pastinya melegakan kem negara selepas mereka menyasarkan untuk melepasi peringkat kumpulan sebelum kejohanan itu bermula pada 24 November lepas.

Skuad kebangsaan membuka tirai kempen Kumpulan A dengan langkah kanan apabila menang tipis ke atas Chile 2-1 (Rabu lepas) sebelum berjaya mengikat naib juara 2016, Belgium 1-1, Jumaat lalu.

Malaysia menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan A dan berkongsi tujuh mata dengan juara Belgium, namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan besar yang memihak kepada jaguh Eropah itu. – Bernama