Willie Mongin

KUALA LUMPUR – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) masih mengkaji penetapan harga lantai getah sekerap di negara ini.

Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi II, Datuk Willie Mongin berkata, keputusan mengenai penetapan harga lantai itu akan diketahui selepas semua aspek diambil kira.

“Mengenai harga siling getah ada disebut (dalam mesyuarat) dan perkara ini sedang dikaji di peringkat kementerian.

“Setakat ini belum ada keputusan mengenai harga siling getah tapi benda ini sedang dikaji dan diteliti oleh pihak kementerian,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Dalam perkembangan lain, Willie menggesa semua pekebun kecil sawit berdaftar menjadi ahli koperasi Sawit Mampan Malaysia Berhad.

Langkah itu adalah bagi membolehkan mereka mendapat manfaat yang ditawarkan apabila menyertai koperasi itu.

“Mereka boleh mendapat manfaat daripada hasil penubuhan koperasi ini dan daripada sektor agrikomoditi. Sektor ini juga menyediakan banyak peluang di peringkat uluan, pertengahan dan hiliran serta mana-mana individu yang berminat berkecimpung dalam industri agrikomoditi boleh bertemu dengan agensi berkaitan,” tambahnya. – MalaysiaGazette