Tan Sri Noh Omar

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang tindakan undang-undang akan diambil terhadap usahawan yang tidak dapat membayar balik pinjaman pada masa ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, agensi di bawah kementeriannya tidak akan mengambil tindakan berhubung perkara itu kerana ia bukan masanya untuk melakukan sedemikian.

Sebaliknya beliau berkata, usahawan terjejas akibat pandemik Covid-19 perlu dibantu agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup.

“Kita tidak akan ambil tindakan undang-undang, bukan masanya. Nak bagi bankrap ke, gulung tikar ke, tak boleh. Kalau nak buat lepas enam bulan nanti baru kita buat, sekarang bukan masanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya memahami keadaan usahawan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dan kini dalam proses membangunkan semula perniagaan mereka setelah pelbagai kelonggaran diberikan kerajaan.

Sementara itu Noh berkata, agensi di bawah MEDAC juga diseru mengurangkan karenah birokrasi bagi meluluskan pinjaman kepada usahawan yang memerlukan pembiayaan untuk memperbaiki perniagaan.

“Kita akan tambah baik, saya boleh bantu melalui agensi di bawah kementerian saya, CTOSS, CRISS ke, tidak perlu diambil kira. Begitu juga jangan dikenakan apa-apa caj atau interest,” ujarnya.

Sementara itu, Noh berkata, setakat tiga bulan lepas MEDAC telah membantu 220,241 usahawan dan koperasi memulihkan perniagaan, melepasi sasaran asal iaitu 188,345 usahawan. – MalaysiaGazette