Ahmad Mustain Othman

SHAH ALAM – Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari kerajaan negeri tidak bersetuju Selangor memberi peruntukan sama banyak kepada wakil rakyat pembangkang sebagaimana dibentangkan dalam Bajet 2022.

ADUN Sabak, Ahmad Mustain Othman mendakwa, tindakan itu seolah-olah memberi bantuan kepada musuh.

“Saya tak setuju peruntukan untuk ADUN pembangkang dinaikkan kerana perbuatan ini seolah kita memberi pisau kepada musuh untuk menyembelih kita.

“Adalah lebih baik peruntukan itu diserahkan kepada Penyelaras DUN bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lebih taat dan setianya kepada kerajaan negeri untuk diserah dan diuruskan kepada rakyat,” katanya pada persidangan DUN Selangor hari ini.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya peruntukan RM400,000 itu diagihkan juga kepada pembangkang, beliau akan memantau agar setiap sen duit itu tidak diselewengkan ADUN pembangkang.

Ahmad Mustain yang dipecat dari Parti Amanah Negara (Amanah) pada 28 Julai 2020 dilihat kuat mengampu kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Amirudin Shari berikutan Parlimen Sabak Bernam yang mana Sabak antara DUN kawasan itu menerima peruntukan paling tinggi dalam Bajet 2022 iaitu RM1.08 bilion.

Berhubung peruntukan sama rata diberikan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Perak dan Johor kepada pembangkang PH, beliau yang kini sebagai ahli PKR menjelaskan, jumlah itu diberikan kepada mereka kerana kerajaan berada dalam kedudukan yang tidak stabil.

“Kerajaan Persekutuan beri peruntukan yang sama kepada Ahli Parlimen pembangkang, manakala Perak dan Johor juga berbuat demikian kerana kerajaan itu berada di hujung tanduk.

“Saya yakin sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) ini kuat, jangan harap mereka nak bagikan peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen dan ADUN pembangkang.

“UMNO ini hanya akan berkawan ketika dia lemah, selepas kuat, kawan ini akan disingkir. Buktinya di Melaka, Pas yang menjadi pujaan akhirnya diceraikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette