Dr Muhamad Akmal Saleh

JASIN – Kes pertama positif Covid-19 membabitkan seorang pelajar Tingkatan Lima Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Selandar mungkin berpunca daripada guru atau kakitangan sekolah terbabit.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kemungkinan itu berdasarkan keputusan ujian saringan yang dibuat terhadap kira-kira 500 pelajar Tingkatan 1 hingga 5 sebelum memasuki asrama pada 23 November lalu adalah negatif Covid-19.

Bagaimanapun menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan punca jangkitan yang setakat ini hanya menyebabkan seorang pelajar positif dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) MITC Ayer Keroh.

“Menjadi prosedur operasi standard (SOP) bagi sekolah berasrama termasuk SBPI Selandar yang mana semua pelajar mesti menjalani ujian RTK pertama kedua dan ketiga dan semuanya adalah negatif.

“Bagaimanapun, terdapat seorang pelajar Tingkatan 5 telah menunjukkan gejala bermula 23 November namun ujian RTK dan PCR kali pertama juga negatif,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan di SBPI Selandar selama hampir satu jam di sini petang tadi.

Menurutnya, simptom jangkitan ditunjukkan remaja itu berterusan sehinggalah ujian PCR kali kedua dibuat pada 30 November lalu yang didapati positif Covid-19 sebelum segera dihantar menjalani kuarantin di PKRC MITC.

“Kerajaan negeri sangat mengambil serius perkara ini…saya ingin menasihati guru-guru terutama di sekolah berasrama, kalau boleh buatlah ujian RTK kendiri sekali seminggu untuk menjamin keselamatan anak-anak sekolah berasrama ini.

“Sebabnya mereka ini dah duduk dalam asrama, dah tak boleh keluar yang mana pembawa virus ini adalah daripada luar, mungkin cikgu atau pekerja (membawa virus).

“Mereka ini (guru dan kakitangan) memang tidak ada satu SOP yang mengatakan wajib buat (RTK kendiri) tapi saya nasihat mereka buatlah RTK kendiri,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, setakat ini tiada keperluan penutupan sekolah berkenaan kerana semua 500 pelajarnya didapati tidak menunjukkan simptom jangkitan Covid-19.

“Ujian saringan swab yang dibuat terhadap 95 pelajar yang bergejala sejak 23 November lalu juga mendapati tiada seorang pun positif, malah semua mereka telah sihat dan tidak menunjukkan gejala jangkitan hasil SOP ketat dibuat.

“Cuma ada seorang pelajar Tingkatan 5 terpaksa dikuarantin di dalam sekolah walaupun keputusan ujian saringannya negatif tetapi perlu mematuhi SOP kuarantin kerana menjadi kontak rapat pelajar positif yang berada di PKRC,” katanya.

Jelasnya, SBPI Selandar akan terus beroperasi seperti biasa namun dengan SOP yang lebih ketat termasuk pemantauan teliti daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin setiap hari. – MalaysiaGazette