Covid-19 cases infections screening Ahmad Adam Mohd Rozain, 33, using the RTK-Ag Covid-19 self-test kit to at his house in Section 2, Wangsa Maju, Kuala Lumpur. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 23 JULY 2021. Covid-19 cases
An individual performing the Covid-19 self-test using the RTK-Antigen test kit. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 23 JULY 2021.

JASIN – Melaka bercadang mewajibkan semua guru, kakitangan sokongan dan pekerja swasta di semua sekolah berasrama menjalani ujian kit ujian pantas (RTK) setiap minggu untuk menjamin keselamatan pelajarnya.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, beliau akan mencadangkan perkara itu untuk dibincangkan pada mesyuarat Exco, Rabu depan khususnya ketika Malaysia sudah merekodkan kes pertama varian dibimbangi (VOC), Omicron.

“Saya akan bawa usul ini (mewajibkan RTK) dalam mesyuarat Exco minggu depan supaya di Melaka mungkin kita akan mula (mewajibkan) tapi bergantung pada keputusan Exco Rabu depan.

“Cadangan saya kita akan mulakan dengan sekolah asrama memandangkan varian Omicron pun telah ada di Malaysia maka kita perlu letakkan satu langkah berwaspada supaya virus ini dapat kita kekang dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Gazette di Sekolah Menengah Tahfiz Al Quran (JAIM) Chenderah di sini yang diarahkan tutup sementara sehingga 10 Disember ini berikutan 13 kes baharu positif Covid-19 yang membabitkan warga sekolah berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, cadangan mewajibkan ujian RTK setiap minggu bagi sekolah berasrama itu juga dibuat susulan pada minggu ini sudah terdapat dua kes jangkitan Covid-19 di sekolah berasrama yang dipercayai berpunca daripada guru atau kakitangan sekolah terbabit.

Semalam, beliau mengesahkan Melaka merekodkan kes pertama positif Covid-19 membabitkan seorang pelajar Tingkatan Lima Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Selandar yang mungkin berpunca daripada guru atau kakitangan sekolah berkenaan.

“Sebab itu kita lihat prosedur operasi standard (SOP) di sekolah berasrama ini perlu ditambah baik, antaranya kita ingin pastikan semua guru, pekerja swasta dan staf sokongan yang keluar masuk setiap hari menjalani ujian RTK saliva.

“Harga RTK saliva pun sekarang sekitar RM5.90 seunit jadi adalah tidak keberatan untuk kita tetapkan ataupun mungkin kita tengok bantuan daripada kerajaan negeri atau pusat untuk mewajibkannya,” katanya.

Dr Akmal berkata, usaha itu juga bagi memastikan semua pelajar di sekolah berasrama berada dalam keadaan yang baik dan sihat sekali gus memberi satu jaminan kepada ibu bapa.

“Apa yang kita lihat anak-anak (pelajar) ini tak keluar dari asrama jadi yang keluar masuk adalah cikgu-cikgu, pekerja swasta atau staf sokongan yang mempunyai kecenderungan lebih tinggi untuk membawa jangkitan.

“Kita akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri kerana ini bukanlah keputusan Jabatan Kesihatan Negeri sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette