Keadaan kawasan penempatan penduduk yang rosak teruk selepas Gunung Semeru meletus pada 4 Disember 2021. foto Detik.com

SUMBERWULUH – Letusan gunung berapi Semeru telah mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang dan mencederakan berpuluh-puluh orang di Pulau Jawa, kata agensi bencana Indonesia ketika pasukan penyelamat mencari mangsa di bawah lapisan abu.

Gunung Semeru, gunung tertinggi di Jawa, melontarkan menara abu dan awan panas pada hari Sabtu yang menyelubungi kampung berhampiran di wilayah Jawa Timur, menyebabkan orang ramai melarikan diri dalam keadaan panik.

Letusan itu memusnahkan bangunan dan memutuskan jambatan strategik yang menghubungkan dua kawasan di daerah berdekatan Lumajang dengan bandar Malang, kata pihak berkuasa.

Daripada 14 orang mangsa yang terbunuh itu, sembilan daripadanya telah dikenal pasti.

Manakala 56 orang mengalami kecederaan, kebanyakannya melecur.

Kira-kira 1,300 orang telah dipindahkan, manakala sembilan orang masih belum dapat dikesan, kata agensi bencana itu.

Taufiq Ismail Marzuqi, seorang penduduk di daerah Lumajang yang menawarkan diri untuk membantu, memberitahu Reuters bahawa usaha menyelamat “sangat teruk” kerana jambatan terputus dan sukarelawan kurang pengalaman.

Pasukan penyelamat di kampung Curah Kobokan, juga di Lumajang, menemui mayat seorang ibu masih menggendong bayinya yang sudah mati, lapor agensi berita Antara.

Seorang saksi Reuters di kawasan Sumberwuluh berkata, rumah dan kenderaan hampir ditenggelami oleh abu tebal dan kelabu, pokok tumbang menghalang jalan dan seekor lembu yang tidak dapat diselamatkan oleh penduduk kampung juga mati.

Hosniya, seorang penduduk tempatan berusia 31 tahun yang dipindahkan bersama keluarganya, memberitahu, letusan itu berlaku sangat mendadak.

“Pada mulanya, saya fikir ia adalah letupan bom…tiba-tiba semuanya gelap, seperti ia akan memusnahkan bumi,” katanya.

Hosniya dan keluarganya hanya melarikan diri tanpa membawa apa-apa selain daripada dokumen peribadi mereka.

Hujan lebat dijangka dalam tempoh tiga hari akan datang, akan menyukarkan kerja-kerja pemindahan, kata seorang pegawai agensi meteorologi lewat pada Ahad.

Serpihan batu dan sedimen gunung berapi panas telah mengehadkan pergerakan, kata penyelamat tempatan.

Semeru, yang menurut pakar gunung berapi berada dalam fasa letusan sejak 2014, mula mengeluarkan awan panas dan aliran lava baru-baru ini, menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran supaya orang ramai tidak mendekatinya mulai Rabu.

Gunung Semeru yang mempunyai ketinggian lebih daripada 3,600 meter (12,000 kaki) tinggi, adalah salah satu daripada hampir 130 gunung berapi aktif di Indonesia.- Reuters