Penduduk sedang berusaha dalam usaha menyelamat - Foto CNN Indonesia

SUMBERWULUH – Keadaan angin kencang dan hujan lebat menghalang usaha mencari dan menyelamat mangsa gunung berapi Semeru.

Gunung tertinggi di Pulau Jawa itu meletus secara tiba-tiba pada hari Sabtu, menyebabkan abu menjulang tinggi ke langit dan menyelubungi kampung sekitarnya.

Letusan gunung itu telah mengorbankan 14 orang mangsa dan berpuluh-puluh lagi cedera.

Rakaman udara menunjukkan kebanyakan rumah ditenggelami dengan abu gunung berapi sehingga ke paras bumbung.

Anggota tentera, polis dan penduduk menggali abu dengan tangan mereka untuk mengeluarkan mangsa.

Pada Isnin, ketua Balai Cerap Gunung Berapi Semeru, Liswanto, memberi amaran kepada orang ramai supaya menjaga jarak selamat dari gunung itu.

Terdapat juga penduduk yang cemas telah pulang ke rumah mereka untuk memeriksa harta benda dan ternakan.

”Status Gunung Semeru masih di tahap dua, bermakna pada tahap ini, orang ramai perlu lebih berwaspada kerana potensi ancaman masih ada,’ katanya.

Lebih 50 orang mengalami kecederaan akibat letusan itu, kebanyakannya melecur.

Aliran lava memusnahkan jambatan strategik yang menghubungkan dua kawasan di daerah Lumajang berhampiran dengan kota Malang.

Di kawasan Sumberwuluh, dua trak tertimbus oleh abu gunung berapi, usaha pemulihan terhenti secara tiba-tiba kerana angin kencang, kata seorang saksi Reuters.

Semeru adalah salah satu daripada lebih 100 gunung berapi aktif di Indonesia. – Reuters

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast