Foto Instagram Elyana.

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Elyana berkongsi berita gembira apabila penyakit kanser limfoma yang dihadapinya selama 11 tahun kini sudah hilang.

Dia berkongsi hantaran berita itu di akaun Instagram miliknya.

“Assalamualaikum rakan dan keluarga di Instagram. Hari ini saya ingin berkongsi rasa gembira dan bersyukur saya dengan anda semua. Perjuangan dan penantian selama 11 tahun saya berhasil!!!!! Kanser saya hilang!!!!!

“Alhamdulillah Ya Allah…. Terima kasih Ya Allah, kau telah mendengar doa kami.. Tak dapat saya gambarkan perasaan gembira saya . Terlalu lama tak dapat rasa gembira ada tubuh yang sihat.. I love u Ya Allah,” tulisnya.

Pada Oktober lalu, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 34, baru sahaja selesai menjalani kemoterapi sesi kedua bagi merawat kanser limfoma yang dihidapinya.

Elyana sebelum ini pernah meluahkan kebimbangan dan kebuntuan mengenai kos sesi kedua rawatan kemoterapi yang menelan belanja hingga RM250,000 bagi keseluruhan lima sesi yang perlu dilaluinya.

Pada Julai lalu, Elyana telah menjalani rawatan radioterapi di bahagian hati dan pinggul bagi mengubati penyakit kanser limfoma yang dihidapinya.

Sebulan sebelum itu, Elyana dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan radioterapi sebanyak 10 sesi berikutan penyakit kanser limfoma yang dihadapi sudah merebak ke dada, paru-paru, belakang rahim, usus dan beberapa bahagian badan yang lain.

Penyanyi lagu Kalis Rindu itu menghidap kanser limfoma sejak 2012 membuat pendedahan mengenai penyakitnya pada 2017 ketika tersingkir daripada program Gegar Vaganza musim keempat.

Pelakon filem Dunia Baru The Movie dan Dukun itu mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Khairul Anuar Husin pada tahun 2010.

Mereka dikurniakan cahaya mata, Cinta Sumayyah, 10, dan Cahaya Ramadhani yang kini berusia dua tahun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast