Foto Facebook Majlis Paralimpik Malaysia.

KUALA LUMPUR – Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) gembira dengan pencapaian Sukan Para Remaja Asia (AYPG) 2021 di Bahrain yang membuktikan betapa pentingnya untuk memberi fokus kepada program pembangunan remaja negara.

Kejohanannya yang berakhir kelmarin menyaksikan Malaysia berjaya membawa pulang tiga pingat emas, lima perak dan lima gangsa.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya percaya dengan keperluan untuk mencari bakat baharu dengan mendedahkan atlet remaja lebih awal bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga antarabangsa.

“Saya gembira bahawa Majlis Sukan Negara khususnya telah melabur dalam membiayai kontinjen untuk temasya kali ini dan mereka kini mempunyai sekumpulan bakat baharu untuk berkembang menjadi Paralimpian pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Seramai 13 atlet membawa cabaran negara pada AYPG kali ini dan mengambil bahagian dalam enam daripada sembilan acara sukan yang dipertandingkan.

Skuad renang menyumbangkan dua emas menerusi Zy Lee Kher dalam acara 200 meter (m) gaya bebas lelaki S1-5 dan Ong Jia Xuan bagi acara 100m kuak dada perempuan SB4-9 manakala Gloria Gracia Wong Sze mengungguli saingan ping pong perempuan kategori SF9-10.

Lee Kher, 15, muncul atlet muda negara paling menyerlah yang disifatkan sebagai bintang dalam pembikinan apabila dia turut meraih satu perak dalam acara 200m kuak kupu-kupu S2-7 dan gangsa 200m rampaian individu SM5-10.

Perenang yang dilahirkan tanpa dua kaki dan cacat di bahagian lengan itu kini menetapkan sasaran untuk beraksi di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Sebagai rekod, Malaysia mula menyertai AYPG sejak 2009 dan sudah memenangi 102 pingat – 32 emas, 35 perak dan 35 gangsa.

Pada edisi 2017 di Dubai, kontinjen negara yang dibarisi 12 atlet mengambil bahagian dalam lima sukan yang dipertandingkan dan membawa pulang lima emas, satu perak dan dua gangsa. – MalaysiaGazette