Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Antara PRIMA Corporation Malaysia dan Sinergi Dayang di Hotel Hilton Petaling Jaya, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 08 DISEMBER 2021.

PETALING JAYA – Indeks Daya Huni Malaysia yang dilancarkan pada bulan lalu akan digunapakai pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai garis panduan bagi memulakan sesuatu projek perumahan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, indeks tersebut akan menjadi pengukur berimpak tinggi kepada semua lokaliti khususnya kepada PBT.

“Pada bulan Januari KPKT akan perkenalkan Indeks Daya Huni yang boleh dijadikan sebagai garis panduan kepada PBT sebelum memberikan kebenaran merancang.

“PRIMA misalnya rumah PPR terbaharu mesti dilengkapkan dengan gentian optik dan ia dilaksanakan yang pertama oleh PRIMA dalam projek perumahan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap pada majlis pemeteraian perjanjian pembangunan 763 buah rumah mampu milik di Pahang oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) bersama Sinergi Dayang Sendirian Berhad, di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, PR1MA diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Nazi Md. Shariff manakala Sinergi Dayang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Alan Shah Mohd. Yusoh.

Perjanjian itu adalah bagi membangunkan rumah teres dua tingkat di Residensi ‘Marina Fasa 2 di Kuantan, Pahang yang melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM219 juta.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, salah satu perkara dalam Indeks Daya Huni Malaysia itu adalah pemasangan  gentian optik bagi menyalurkan capaian internet kepada rumah-rumah yang ingin dibina khususnya Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Saya nak lengkap semua PPR saya dengan sambungan internet supaya semua akan dapat memiliki internet dan menjadikan kehidupan mereka lebih lestari.

“Ini bukan soal rumah yang hendak diduduki tapi ini adalah soal tahap daya huni juga perlu ditingkatkan,” jelasnya.

Pada 27 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan bahawa Indeks Daya Huni Malaysia akan dijadikan kayu pengukur dalam memastikan perancangan perbandaran khususnya dirangka dengan mengambil kira semua kriteria di bawah Rancangan Fizikal Negara Ke-4 (RFN Ke-4) .

Beliau berkata, Indeks Daya Huni juga akan digunakan sebagai satu instrumen dasar ke arah menilai kemampanan bandar agar matlamat RFN Ke-4 dengan didasari Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), dapat dicapai sebaiknya.

Untuk rekod, RFN Ke-4 yang dimuktamadkan KPKT melalui PLANMalaysia adalah dokumen strategik yang menggariskan dasar pembangunan spatial negara selaras dengan RMK12.

Ia mengandungi tiga Teras Pembangunan Utama, 11 Hala Tuju Strategik dan 39 Tindakan Pelaksanaan bagi memastikan Malaysia mampu menjadi sebuah negara makmur (prosperous nation) dan berdaya tahan (resilient) dari segi ekonomi, alam sekitar dan keseimbangan sosial, demi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia keseluruhannya. – MalaysiaGazette