Lakaran artis projek rumah mampu milik di Kwasa Damansara.

KUALA LUMPUR – Sektor hartanah Malaysia dijangka menyaksikan pemulihan secara berperingkat pada separuh pertama 2022, dipacu oleh peningkatan sentimen pasaran serta keadaan ekonomi negara yang kembali pulih.

Pengurus Negara PropertyGuru Sheldon Fernandez berkata, keadaan itu akan mendorong perkembangan pasaran hartanah yang dijangkakan pada separuh kedua 2022 berdasarkan kajian indikator mengenai transaksi harga di masa akan datang.

“Oleh itu, kami berpendapat, jika tidak membabitkan pemulihan pasaran, sekurang-kurangnya keadaan diunjur stabil dari segi harga.

“Bagi tempoh masa terdekat, keyakinan pasaran sebaliknya masih banyak dipengaruhi oleh perkembangan berkaitan Covid-19 berikutan ketidaktentuan terutamanya akibat kemunculan varian Omicron,” katanya pada sesi perbincangan panel PropertyGuru mengenai Unjuran Pasaran Hartanah PropertyGuru yang diadakan secara maya di sini, hari ini.

Fernandez juga menyifatkan prospek bagi pasaran hartanah kekal berhati-hati dalam tempoh peralihan negara daripada pendekatan pandemik kepada endemik bagi menangani krisis COVID-19.

Dari sudut lebih optimistik, faktor seperti petunjuk data-data ekonomi yang positif, kadar vaksinasi lebih baik, dasar rancangan jangka panjang kerajaan yang lebih jelas dan pembukaan sempadan antarabangsa juga dijangka terus mendorong usaha pemulihan ekonomi.

“Terdapat lima trend penting yang akan memberi kesan ke atas sektor hartanah. Pertama, kestabilan pasaran akan akan memulihkan minat pembeli selain prospek jaminan pekerjaan lebih baik ketika keadaan negara terus pulih.

“Kedua, sejajar dengan persekitaran pemulihan ekonomi yang dapat meningkatkan pendapatan, kami berharap ia juga dapat menggalakkan golongan yang berminat serta pelabur untuk membeli hartanah,” katanya,

Fernandez berkata Bajet 2022 yang dibentangkan pada 29 Oktober lepas, turut menyaksikan kerajaan tidak lagi mengenakan Cukai Keuntungan Harta Tanah (RGPT) bagi kediaman yang dijual dalam tahun keenam dan seterusnya.

RPGT diperkenalkan untuk mengekang spekulasi sewaktu pasaran hartanah mengalami perkembangan yang memberangsangkan.

“Oleh itu, langkah kerajaan berkaitan RGPT itu akan membantu meliberalisasikan pasaran untuk pelabur dan pembeli rumah kedua yang tidak berhasrat mengekalkan pegangan aset itu bagi tempoh yang lama,” katanya.

Katanya, trend lain membabitkan pelaksanaan semula program-program yang dapat memacu sektor itu seperti Kempen Pemlikan Rumah (HOC) yang berpotensi untuk dilanjutkan pada tahun depan dan diharapkan dapat diperluas bagi melibatkan pasaran sekunder.

“Malah, dasar kerajaan dalam Bajet 2022 untuk menyediakan jaminan RM2 bilion kepada bank-bank menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan untuk membantu mereka dalam industri gig, usahawan mikro dan petani dari segi akses pembiayaan, juga penting sebagai pendekatan progresif dan inklusif terhadap usaha pemilikan rumah.

“Selain itu, terdapat penyediaan peruntukan RM1.5 bilion untuk membina hartanah mampu milik bagi mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.

Beliau berkata, trend terakhir merujuk kepada tahap kemajuan projek-projek mega bagi meningkatkan prospek masa depan yang berupaya menjana minat ketara terhadap pasaran hartanah kerana dapat menyuntik nilai tambah kepada kawasan sekitar.

Ini termasuk projek-projek prasarana seperti Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Sistem Transit Rapid Johor-Singapura (RTS Link) dan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang berkemungkinan dihidupkan semula serta dapat mendorong kemajuan pasaran hartanah pada 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast