Mohd Puad Zakarshi

KUALA LUMPUR – Datuk Mohd Puad Zakarshi menjelaskan mengapa beliau menyifatkan  Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai menteri besar paling ‘loklak’.

Loklak dalam loghat Kedah bermaksud tidak beradab.

”Marah betul MB Kedah pada saya. Dia tanya, saya datang dari planet mana? Saya orang Johor. MB Kedah tidak tahu Johor di planet mana ke?

”Sebagai orang Johor saya penyokong diehard Johor Darul Ta’zim (JDT). Sanusi, mesti sokong team Kedah sebab dia orang Kedah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Lantaran itu, Mohd Puad mempersoalkan apa perlunya Muhammad Sanusi menyindir kekalahan pasukan JDT dengan memuatnaik posting “sapa ada gambaq rimau jalan tersipu sipu”.

Tanya beliau, bukankah tujuan sukan ialah perpaduan, keharmonian dan persahabatan.

Katanya, sindiran MB Kedah itu tidak harmoni, berdendam dan cari gaduh.

”Sebab itu, Ketua Menteri Pulau Pinang lebih baik. Dia berbudi bahasa. Dia tidak ‘loklak’ walaupun DAP musuh politik pada UMNO dan Pas.

”Ingat YAB, bahasa jiwa bangsa. Jangan nanti YAB dibuang ke planet Otaba pula. Otaba tu apa ye?

Semalam Mohd Puad menyifatkan Muhammad Sanusi sebagai Menteri Besar paling ‘loklak’, baik lagi Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Kata Mohd Puad lagi, bahasa sikap dan tingkah Muhammad Sanusi tidak sepadan dengan Parti Pas diwakilinya.

Bagaimanapun Muhammad Sanusi engan mengulas lanjut.

Cuma katanya: Puad ini objek yang tidak berada dalam radar politik pada ketika ini. Ada sesiapa tahu dia berada di planet mana?,” katanya seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita. – MalaysiaGazette