Orang ramai beratur panjang untuk membayar saman polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyarankan orang ramai yang gagal untuk mengakses portal atau aplikasi mudah alih MyBayar Saman supaya berbuat demikian di luar waktu puncak.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, ia berikutan perkhidmatan pembayaran dalam talian berkenaan beroperasi 24 jam sepanjang tempoh tawaran kompaun.

“Berikutan sokongan yang sangat tinggi daripada rakyat terhadap tawaran pengurangan kompaun saman sehingga 80 peratus sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia telah menyebabkan kesesakan terhadap capaian sistem pembayaran saman secara dalam talian.

“Sehubungan itu, PDRM menyarankan orang ramai supaya berbuat demikian di luar waktu puncak memandangkan perkhidmatan itu beroperasi 24 jam sepanjang tempoh tawaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pembayaran juga boleh dibuat di kaunter PDRM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), kaunter bayaran trafik Ibu Pejabat Polis Daerah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen dari pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang termasuk pada hari cuti minggu sehingga Ahad.

Dalam masa sama, beliau menyeru orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mengawal penularan wabak Covid-19 semasa berurusan di kaunter bayaran saman. – MalaysiaGazette