Pele ialah penjaring terbanyak sepanjang masa Brazil dengan 77 gol - Foto BBC News

BRAZIL – Pele, pemenang Piala Dunia tiga kali kini berada di hospital untuk rawatan tumor kolon yang dihidapinya.

Beliau telah menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan kolon pada September.

Memetik laporan BBC News, pihak hospital berkata, pada masa ini, legenda bola sepak itu perlu menjalani kemoterapi.

Jurucakap Hospital Sao Paulo Albert Einstein berkata, Pele yang berusia 81 tahun itu berada dalam keadaan stabil dan akan dibenarkan keluar dalam beberapa hari lagi.

Pihak hospital juga berkata, Pele kini sedang meneruskan rawatannya.

Pele berkata di Twitter bulan lalu yang beliau dalam keadaan baik selepas keluar dari hospital pada September lalu.

Beliau telah menjalani rawatan di hospital sejak 31 Ogos selepas tumor dikesan dalam ujian rutin.

Kesihatannya merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau pernah menjalani pembedahan prostat pada 2015 selepas dimasukkan ke hospital buat kali kedua dalam tempoh enam bulan dan dimasukkan semula kerana jangkitan kencing pada 2019.

Pele merupakan penjaring terbanyak Brazil dengan 77 gol dalam 92 perlawanan dan satu daripada empat pemain yang menjaringkan gol dalam empat kejohanan Piala Dunia.-BBC News