Pengunjung melawat kedai pameran mangkuk tingkat sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Begitulah boleh diibaratkan kepada mangkuk tingkat yang masih digunakan dalam masyarakat sejak dahulu sehingga sekarang.

Mangkuk tingkat atau tiffin antara barangan unik yang dijual sempena Program Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Kumpur (KLCC).

Mangkuk jenama Tiffin JEIWA terhasil dengan niat membantu komuniti JEIWA iaitu Johor Empowerment of Intellectual Women Association, satu pertubuhan memperkasakan wanita.

Uniknya, Tiffin JEIWA mempunyai pelbagai corak yang dilukis sendiri oleh ahli-ahli komuniti pertubuhan berkenaan, kata Eksekutif Kewangan Tiffin JEIWA, Nur Nadira Syuhada Mohamad Zim.

Eksekutif Kewangan Tiffin JEIWA, Nur Nadira Syuhada Mohamad Zim. Foto AFFAN FAUZI, 10 DISEMBER 2021.

“Di situ (JIEWA) ada pusat latihan, kanseling untuk kebanyakan ibu tunggal. Wanita yang ada masalah rumah tangga. Jadi jual mangkuk tingkat ini untuk kumpul dana untuk JEIWA tapi disebabkan terima sambutan baik.

“Tahun lepas bila bermula pandemik hasil jualan online mendapat sambutan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Jelas Nadira, pandemik Covid-19 ternyata meningkatkan pasaran mangkuk tingkat jenama Tiffin JEIWA sekaligus menyemarakkan lagi semangat pengasas jenama berkenaan, Ina Fadilah Nizar untuk memperluaskan jualan produknya.

Ujarnya terdapat 40 mangkuk tingkat bagi satu reka bentuk yang disiapkan dalam tempoh tiga bulan.

Berasaskan kebajikan membantu komuniti dalam negara ini, menurut Nur Nadira, hasil jualan Tiffin JEIWA akan digunakan membantu masyarakat Penan di Sarawak memasarkan produk anyaman mereka.

“Semua lukisan adalah hasil tangan Fadilah, lebih kurang 60 pelukis yang terdiri daripada ibu tunggal, yang kurang upaya kebanyakannya wanita. Sebab nak tolong wanita,” tambahnya.

Beliau berkata, setiap mangkuk tingkat jenama Tiffin JEIWA dijual dengan harga RM289 ke atas.

Bukan mangkuk tingkat sahaja, jenama itu turut mengeluarkan produk lain berasaskan kegunaan harian seperti set cawan, botol minuman dan bekas makanan.- MalaysiaGazette