Ahmad Faizal Azumu

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Ahli Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju.

Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, biarpun dalam perlembagaan parti itu menyatakan secara jelas, mana-mana ahli yang bertanding di atas tiket Bebas, keahlian akan terlucut serta-merta, namun ia tidak termaktub untuk Ali.

“Kes Ali lain. Sepatutnya bukan tindakan, tetapi penghargaan yang harus diberikan.

“Beliau adalah penyandang kerusi di N.39 Krian bukan zaman Perikatan Nasional, bukan juga zaman Pakatan Harapan tetapi sejak 2016.

“Tindakan (bertanding) itu adalah kerana desakan pengundi di sana mahukan beliau terus berkhidmat.

“Namun selepas diterangkan dasar dan keputusan parti, beliau akur untuk menarik diri,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Beliau berkata, keputusan menarik diri sudah dibuat beberapa hari lalu dan hanya diumumkan semalam.

“Ali perlu bertemu pengundi terlebih dahulu, terangkan kepada mereka dan menasihati agar memilih calon daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Selesai itu, barulah diumumkan semalam secara rasmi,” jelasnya.

Ahmad Faizal memahami pelbagai desakan namun mengambil pendekatan berbeza.

“Parti lain, cara lain tapi PPBM, walaupun ada perlembagaan, keputusan akhir adalah daripada kepimpinan tertinggi.

“Untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ini, lain sikit caranya. kita pun dah ambil persetujuan hanya akan menyokong GPS,” katanya.

Katanya lagi, tindakan Ali bertanding pada peringkat awal adalah demi menjaga hati pengundi yang mahukan khidmatnya diteruskan.

Mengulas ‘layanan’ istimewa ke atas Ali itu yang dilihat wujud keputusan berat sebelah, Ahmad Faizal berkata, parti itu mengambil pendekatan berbeza.

“Saya sudah nyatakan, walaupun ada perlembagaan, keputusan akhir adalah daripada kepimpinan tertinggi.

“Tiada double standard dan PPBM mengambil pendekatan berbeza.

“Sebenarnya Ali akan menang atas tiket apa pun jika bertanding, tetapi berbalik kepada keputusan parti, semua perlu akur,” katanya lagi.

Semalam, Ali mengumumkan penarikan diri daripada bertanding di N.39 Krian selepas akur dengan keputusan PPBM, selain mengambil kira jika hasratnya untuk terus bertanding hanya akan menjejaskan hubungan baik antara PPBM dan GPS.

Jelasnya, keputusan untuk bertanding sebelum ini dilakukan setelah mengambil kira pandangan dan desakan daripada pimpinan masyarakat dan pengundi DUN N.39 Krian untuk mengekalkan kerusi DUN berkenaan.

Kelmarin, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Haji Abdul Rahman Zohari Abang Openg melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu yang bertanding sebagai calon bebas bagi mempertahankan kerusi DUN Krian.

Menurutnya, Ali telah melanggar perjanjian PPBM yang memberi jaminan parti itu tidak akan terbabit dalam PRN Sarawak.

Ali merupakan penyandang kerusi DUN Krian yang menang ketika bersama PKR pada PRN 2011 dan 2016, namun menyertai Bersatu selepas Langkah Sheraton. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast