MyFutureJobs
Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi Karnival Kerjaya pada hari terakhir ia beroperasi sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 11 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Mencari kerja semasa pandemik Covid-19 masih menular sememangnya bukanlah sesuatu yang mudah. 

Namun itu tidak mematahkan segelintir rakyat di negara ini untuk terus berusaha terutamanya golongan muda yang baru tamat pengajian atau masih baharu dalam alam pekerjaan.

Di sebalik kesulitan itu, usaha kerajaan menganjurkan karnival kerjaya MYFutureJobs Keluarga Malaysia umpama cahaya di hujung terowong buat mereka yang benar-benar memerlukan pekerjaan.

Karnival empat hari yang disertai 21 majikan dari pelbagai industri diadakan sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Manissha Mohan, 23, berkongsi pengalaman menghantar lebih 50 permohonan kerja di merata tempat sejak tiga bulan lepas namun langsung tiada sebarang maklum balas.

Gadis yang sudah lebih setahun tamat pengajian diploma yang melakukan kerja sambilan tidak pernah berhenti berusaha mencari kerja namun keadaan pandemik telah menyukarkan situasi tersebut.

Tinjauan MyFutureJobs
Manissha Mohan

“Saya cari kerja dalam bidang ‘admin’ tapi memang banyak sangat permohonan saya buat, lebih 50 permohonan satu pun tidak panggil saya.

“Bukan saya seorang sahaja tapi kawan-kawan dan kenalan juga. Kerja yang saya buat sekarang tidak kekal jadi saya terus cuba dan cuba, tapi memang susah sangat.

“Nasib ada juga karnival cari kerja seperti ini, terus datang untuk sesi temuramah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di karnival MYFutureJobs di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Selain Manissha, turut meluahkan rasa gembira dan lega ialah Ariff Arzmi, 26, yang merupakan graduan bidang akauntan dan masih lagi mencari kerja pada masa ini.

Tinjauan MyFutureJobs
Ariff Arzmi

“Peluang kerjaya masih lagi lambat dan jarang beri tawaran oleh majikan kerana takut keadaan tidak menentu kerana pandemik.

“Bukan saya seorang sahaja tapi jiran-jiran dan kawan-kawan semuanya susah cari kerja sekarang, dengan adanya karnival seperti ini memang sangat membantu.

“MYFutureJobs ini sebenarnya lebih baik kerana banyak syarikat di sini, peluang dan pilihan banyak dan mereka akan temuramah kita di sini juga. Tidak perlu susah-susah, kadang-kadang tawaran di media sosial itu ada banyak syarat dan ‘steps’.

“Sini lebih senang, lebih cepat untuk kita,” katanya.

Di bawah Belanjawan 2022 kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM4.8 bilion untuk membantu mewujudkan kira-kira 600,000 peluang pekerjaan bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat Covid-19.

Peruntukan tersebut meliputi subsidi upah dan juga insentif kepada syarikat-syarikat untuk menggaji pekerja baru dan juga bagi modul kemahiran semula serta pengecualian cukai.

Usaha ini terbahagi kepada tiga teras utama iaitu Jamin Kerja, MySTEP da pelbagai program kemahiran semula dan peningkatan kemahiran.

Sementara itu antara majikan menyertai karnival pekerjaan ini termasuklah Gerbang Alaf, Starbucks Malaysia, Prasarana,Dhir dan Partners Sdn Bhd, Secret Recipe Cakes & Cafe Sdn Bhd, CFM Engineering Hardware (M) Sdn Bhd, Malaysia Automative Robotics And IOT Institute (MARii) dan Projek Belia Mahir serta banyak lagi.

MyFututreJobs
Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi Karnival Kerjaya pada hari terakhir ia beroperasi sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 11 DISEMBER 2021.

Karnival ini juga menyediakan kaunter perkhidmatan kaunseling kerjaya, kaunter penghasilan resume dan selain pelbagai insentif di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) kepada pemohon.   

Antaranya ialah Insentif SIP Prihatin 2.0 yang menawarkan insentif Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) sebanyak RM300 sebulan untuk tempoh dua bulan kepada pencari kerja yang menghadiri minimum tiga sesi temu duga. -MalaysiaGazette