Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid

KUALA LUMPUR – Polis hari ini menahan empat lagi pelajar sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar berhubung insiden kes buli selepas kejadian pada 9 Disember lalu.

Ia sekali menjadikan secara keseluruhannya pelajar terlibat seramai 10 orang dari sekolah yang sama telah ditahan  bagi membantu siasatan. kata Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Katanya empat tangkapan terbaru akan dibuat mulai malam ini.

“Setakat ini, dalam kes buli terbabit polis telah menahan seramai 10 pelajar iaitu enam pelajar semalam dan empat lagi petang tadi untuk membantu siasatan kes buli pelajar.

“Daripada jumlah itu, enam orang pelajar yang telah ditahan sejak pukul 6 petang semalam telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai dirakam keterangan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Dalam perkembangan, Mior menambah, empat lagi pelajar dari sekolah sama yang akan ditahan mulai malam ini akan dirakam keterangan.

“Polis akan meneruskan proses merakam keterangan daripada empat pelajar tangkapan dan kemudian, mereka akan dibebaskan sejurus selepas proses rakam keterangan dari mereka diselesaikan pada hari esok.

“Selepas itu kertas siasatan kes ini akan dilengkapkan dan diangkat kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk arahan tindakan lanjut,” tegasnya lagi.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam kenyataan Jumaat lalu, Mior mengesahkan enam pelajar dipanggil dan ditahan untuk mengambil percakapan oleh pegawai penyiasat bagi membantu siasatan kes buli berkenaan.

Video itu dikesan tular di media sosial dan menerima laporan polis daripada pengetua sekolah berasrama penuh tersebut sekitar jam 1 tengahari rentetan kejadian tersebut.

Siasatan polis mendapati insiden membuli pelajar berlaku antara 1 tengahari hingga 2 petang di sekolah tersebut dan seramai tujuh suspek remaja dan seorang mangsa berusia 13 tahun dikenal pasti dalam insiden yang sama.-MalaysiaGazette