KUALA LUMPUR – Indeks Daya Huni Malaysia yang akan diperkenalkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu mengambil kira aspek kesejahteraan psikologi jika sesuai dengan kehendak norma baharu ketika ini.
Ketua Eksekutif, URBANICE Malaysia, Norliza Hashim berkata, pandemik Covid-19 yang melanda negara bukan sahaja menjejaskan ekonomi bahkan aspek sosial khususnya psikologi juga memberi kesan mendalam kepada rakyat di negara ini.
“Sasaran kita patut fokus keadaan mencemarkan, kalau ekonomi mencemaskan, macam mana kita nak atasi, kesejahteraan psikologi juga mungkin satu perkara yang harus kita beri penekanan kepada penduduk bandar.
“Ini adalah elemen-elemen baharu yang mungkin sebelum ini kita tak beri kepentingan, kita cakap tentang kesihatan lebih kepada fizikal tetapi sekarang kita ada isu kesihatan mental, keselesaan tinggal dalam bandar yang semakin tercabar dengan SOP dan juga keadaan yang kita lalui.
“Ini bukan perkara baharu bagi saya tetapi adalah satu peluang untuk kita mencapai kemampanan dan daya huni yang lebih baik dari dahulu.
“Pandemik ini mungkin satu jam penggera untuk kita betul-betul nak buat lebih baik dari dulu,” katanya kepada MalaysiaGazette, di Pusat Konvenysen Kuala Lumpur, semalam.
Dalam pada itu, Norliza tidak menafikan pandemik Covid-19 sedikit banyak membantut usaha kerajaan untuk mencapai Agenda Mampan 2030 selepas Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menunjukkan penurunan khususnya dari segi ekonomi.
“Indeks kesejahteraan yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) menunjukkan kita indeks ini menurun dari 2018 dan 2019 menurun terutamanya dalam aspek ekonomi.
“Bila ekonomi terjejas, sosial juga secara tidak langsung terkesan juga, disebabkan itu maju ke hadapan bagaimana kita tetapkan balik, kita tengok apa yang lebih penting.
“Kita punya sasaran itu bergantung kepada keadaan yang kita memang sudah okay dan maju, tapi kerana pandemik ini beberapa perkara itu membawa kita ke belakang sikit.
“Reset ini penting sama ada kita bergantung kepada sasaran dulu atau kita tetapkan sasaran baharu,” katanya.
Katanya lagi, sudah tiba masanya kerajaan melihat semula cabaran semasa dalam tempoh tiga tahun akan datang dan memperbaiki keadaan daya huni bandar-bandar di negara ini.
“Kita kalau boleh fokus kepada aspek-aspek penting yang kadang-kala di peringkat dasar itu kita tidak ternampak sebab perkara yang dialami itu agak halus, kecil, remeh tapi penting.
“Disebabkan ia penting, maka kita harus melihat bagaimana kita nak mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Sebagai satu agensi di bawah KPKT kita boleh bersama dengan agensi lain bawah kementerian untuk menuju ke arah bandar yang lebih berdaya huni,” katanya lagi. – MalaysiaGazette