Keadaan gudang Amazon yang runtuh selepas kejadian puting-beliung di enam negeri di Amerika Syarikat. foto AP

EDWARDSVILLE, Illinois – Sekurang-kurangnya dua pekerja disahkan maut pada Sabtu ketika penyelamat mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan gudang Amazon.com berhampiran St Louis yang runtuh apabila puting beliung dan ribut kuat melanda kawasan itu, kata pihak berkuasa tempatan.

Beberapa orang masih tidak ditemui di kemudahan itu, besar kemungkinan terperangkap, kata Ketua Polis Mike Fillback kepada pemberita.

Ketua Pegawai Eksekutif Amazon, Andy Jassy menerusi ciapannya berkata, syarikat “sedih atas kehilangan” kakitangannya di Edwardsville dan akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha menyelamat.

Sementara itu, keluarga dan saudara-mara pekerja berkumpul di luar gudang untuk mengetahui nasib insan kesayangan mereka.

Seorang ibu memberitahu stesen berita St Louis Fox, anaknya Clayton Cope, seorang pekerja penyelenggaraan berusia 29 tahun, telah meninggal dunia.

Namun, polis masih belum mendedahkan identiti mangsa-mangsa yang terlibat.

Fillback berkata kira-kira 50 pekerja dipercayai berada di gudang itu apabila puting-beliung melanda enam negeri di Amerika Syarikat, memusnahkan rumah dan perniagaan dan menyebabkan kematian.

Beliau berkata, sukar untuk mendapatkan jumlah tepat pekerja yang mungkin tidak diketahui kerana gudang itu tidak mempunyai “kakitangan yang ditetapkan.”

Rakaman dron dari tempat kejadian menunjukkan anggota pasukan penyelamat sedang melakukan pencarian mangsa melalui kawasan dalam kegelapan.

Fillback berkata, pihak bomba dengan bantuan daripada syarikat pembinaan tempatan, cuba membersihkan serpihan struktur konkrit dan keluli bagi memudahkan pencarian dilakukan. – Reuters