Pengunjung sanggup beratur panjang bagi menyertai Cabutan BErtuah Perdana berupa seunit Proton X50 pada hari terakhir Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bakal melabuhkan tirainya petang ini.

Sepanjang penganjurannya, program ini mendapat sambutan mengalakkan daripada kalangan orang ramai.

Sepanjang bermulanya program ini pada 9 Disember yang lalu, rakyat pelbagai latar belakang tidak melepaskan peluang untuk berkunjung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama empat hari berturut-turut.

 

Angel Anthony

Seorang pengunjung, Angel Anthony, 32, dia enggan melepaskan peluang menyertai program ini untuk mengenali lebih konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dia memuji penganjuran program ini kerana bukan selalu pendedahan secara besar-besaran dianjurkan oleh kerajaan.

“Saya datang untuk tengok tentang Keluarga Malaysia, memahaminya lebih lanjut.

“Penganjurannya bagus kerana banyak pendedahan dan maklumat dapat diketahui,”  katanya kepada MalaysiaGazette.

Lebih 100 ruang pameran daripada kementerian, agensi dan syarikat swasta mengambil bahagian.

Selain itu, Program AKM memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat lanjut mengenai agensi berkaitan seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Ong See Hui

Bagi penuntut sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Ong See Hui, 21  pameran berkenaan sains dan kemajuan negara yang terdapat pada 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia pada hari ini sangat menarik minatnya.

Ujar beliau, dengan pelbagai konsep pameran yang diadakan, penuntut sepertinya boleh menimba ilmu pengetahuan.

“Saya datang memang untuk tengok pameran. Saya tertarik dengan booth Sains dan Kemajuan Negara ada pameran teknologi canggih, robot,” katanya yang berharap agar program ini akan diadakan secara tahunan kerana memberi pendedahan kepada rakyat.

Nurul Ain Farlan

Begitu juga dengan Nurul Ain Farlan,29 tahun yang menyifatkan Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia sesuai diadakan setiap tahun.

“Saya rasa relevan program ini diadakan setiap tahun sebab booth-booth yang disediakan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” ujarnya.

Untuk rekod, Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia merupakan anjuran Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu) Jabatan Perdana Menteri, menampilkan galeri pencapaian kementerian, program bantuan, pameran kementerian dan agensi, persembahan kebudayaan, serta pameran dan jualan usahawan.– MalaysiaGazette