KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjaya mencapai sasaran 100 peratus bagi 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kejayaan itu didorong oleh usaha gigih semua warga MOSTI bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Dengan pencapaian cemerlang ini, MOSTI komited untuk terus memperkasakan dan membudayakan sains, teknologi dan inovasi bagi jangka pendek dan jangka panjang, serta memastikan apa jua inisiatif yang dilaksanakan sampai manfaatnya kepada Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan berkata, pencapaian itu diperoleh bagi kesemua 33 inisiatif termasuk tiga petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.

“Semua 33 inisiatif mencapai sasaran 100 peratus pada 7 Disember di mana tiga Aspirasi Keluarga Malaysia utama yang ditetapkan MOSTI telah dicapai lebih awal iaitu pada 15 November 2021.

“Tiga aspirasi tersebut ialah pelancaran Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara dan penubuhan Institut Genom dan Vaksin Negara; pembangunan ekosistem industri pemula (start-up) yang komprehensif; serta penginovasian sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi MyHackathon dan Malaysia Techlympics,” katanya dalam kenyataan sama.

Sementara itu MOSTI berkata, pihaknya akan memberi fokus kepada pelan hala tuju kecerdasan pintar, internet benda (IoT), pertanian pintar, kenderaan elektrik dan nanoteknologi, pengkomersialan teknologi dron serta inovasi sosial bagi tempoh pertengahan tahun hadapan.

MOSTI juga akan mempergiatkan lagi sokongan kepada ekosistem syarikat pemula tempatan, ujarnya.

“MOSTI juga komited untuk mendukung aspirasi dan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk semua kementerian merancakkan aktiviti turun padang jelajah Keluarga Malaysia. Usaha ini termasuk mempergiatkan program-program kementerian bagi merakyatkan sains, teknologi dan inovasi agar sampai ke akar umbi,” katanya.

Pada Khamis lalu, Ismail Sabri berkata, KPI 100 hari Jemaah Menteri mencapai tahap 90 peratus.

Beliau berkata, sesetengah prestasi tidak boleh dinilai daripada kaji selidik semata-mata, justeru pencapaian berkenaan bukan alasan untuk menteri dan kementerian mendabik dada tetapi menyuntik kesungguhan untuk terus bekerja bersama rakyat. – MalaysiaGazette