Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Green Computing 2021 di MIGHT, Cyberjaya. Foto FAREEZ FADZIL, 13 DISEMBER 2021.

CYBERJAYA – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berbangga atas pencapaian enam pusat data yang berjaya menjimatkan kos elektrik kepada kerajaan sebanyak RM4.1 juta setahun.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, enam pusat data itu juga telah mengurangkan jejak karbon tahunan sebanyak 6,751 tan metrik.

“MOSTI cukup berbangga kerana enam pusat data yang telah memenangi anugerah pada hari ini buat kali pertamanya, secara kolektif telah menjimatkan kos elektrik kerajaan sebanyak RM4.1 juta setahun dan pusat-pusat data ini berjaya mengurangkan jejak karbon sebanyak 6,751 tan metrik setahun atas kejayaan mengurangkan bebanan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyampaian Green Computing Awards (GCA) 2021 di Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), di sini, hari ini.

Dalam majlis sama, Adham turut merasmikan Pusat Data Hijau Edgibility Cyberjaya 1 (ECJ1) yang merupakan pusat data pengkomputeran karbon rendah pertama di Asia Pasifik dan Timur Tengah.

Tambah beliau, pandemik Covid-19 menjadikan gelombang digital semakin rancak dan ia meningkatkan penghasilan karbon dioksida yang tinggi.

Justeru katanya, penggunaan digital mesti ditangani dengan baik supaya tidak menjejaskan alam sekitar yang mampu memberi kesan negatif terhadap keselamatan tenaga negara.

Menurut beliau, kerajaan terpaksa menanggung sebanyak RM276 juta setahun untuk bekalan bil elektrik operasi pusat data negara dengan jejak karbon tahunan berjumlah 439,000 tan metrik.

Oleh itu, katanya, MOSTI menyokong usaha penganjuran anugerah ini sebagai medium strategik yang mendokong hasrat kerajaan merealisasikan aspirasi kelestarian tenaga menjelang 2030.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba (tengah) beramah mesra dengan penerima anugerah ‘Best of the Best’ kepada Juraimi Ghazali (tiga kanan) dari Jabatan Perkhidmatan Awam serta yang lain selepas Majlis Penyampaian Anugerah Green Computing 2021 di MIGHT, Cyberjaya. Foto FAREEZ FADZIL, 13 DISEMBER 2021.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya dipilih sebagai pemenang CGA 2021 bagi kategori Sistem Elektrikal Terbaik, Jabatan Perkhidmatan Awam (Kejuteraan Sistem Terbaik), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Kawalselia dan Pelaporan Terbaik) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (Kawalan Alam Sekitar Terbaik).

Selain itu, Jabatan Peguam Negara memenangi kategori Kebolehskalaan dan Daya Tahan Terbaik, Jabatan Pendaftaran Negara (Pengurusan Terbaik) manakala Tan Sri Rizman Yusam daripada Jabatan Pendaftaran Negara dipilih sebagai penerima Anugerah Advokasi Industri

Anugerah Best of the Best dirangkul oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia yang diwakili Juraimi Ghazali. – MalaysiaGazette