Sembilan kenderaan remuk teruk akibat dirempuh sebuah bas ekspres dalam kejadian di Kilometer 139.3 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Perai, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Kira-kira sembilan kenderaan remuk teruk akibat dirempuh sebuah bas ekspres dalam kejadian di Kilometer 139.3 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Perai petang tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian jam 2.08 petang itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, hasil siasatan awal mendapati pemandu bas ekspres itu dalam perjalanan dari Butterworth menghala ke Ipoh dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar sembilan kenderaan lain yang berada di laluan tersebut.

“Tiada kecederaan serius dilaporkan dalam kejadian itu manakala mangsa yang mengalami kecederaan ringan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.

Keadaan beberap kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Kita mohon pengguna lebuhraya yang melihat kejadian berkenaan diminta tampil menyalurkan maklumat atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Sufi Abdul Razal di talian 013 477 4543 bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Shafee, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 39 saat menunjukkan sebuah bas ekspres merempuh beberapa kenderaan di Kilometer 139.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan dekat Perai.

Kejadian itu menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh lebih 10 kilometer. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan