KUALA LUMPUR – Perbicaraan pembelaan melibatkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor terpaksa ditangguhkan buat kali ketiga hari ini selepas status MySejahtera beliau masih berwarna jingga.

Rosmah sebelum ini merupakan menunjukkan kontak rapat kes COVID-19 sejak Rabu lepas.

Ketika prosiding hari ini juga, pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram bangkit mencadangkan perbicaraan dijalankan secara hibrid berikutan status MySejahtera Rosmah.

Kata Timbalan Pendakwa Raya itu, pendakwaan berada dalam keadaan sukar kerana sebelum ini pihaknya sudah mencadangkan prosiding ini dijalankan melalui cara hibrid namun tidak dipersetujui oleh hakim.

“Jika ini berterusan mahkamah boleh bertindak mengikut Seksyen 15A Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Kami boleh menyediakan dua Pendakwa Raya untuk hadir ke rumah Rosmah dan kami juga boleh buat persiapan jika beliau ditemani kedua-dua peguamnya.

“Seorang pegawai mahkamah boleh ada sekali, sekali gus membolehkan beliau memberi keterangan,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan di sini hari ini.

Mohamed Zaini kemudian meminta pandangan peguam mewakili Rosmah, Datuk Jagjit namun pihaknya mahu prosiding dijalankan secara terbuka di mahkamah dan tidak mahu secara hibrid.

Hakim kemudian berkata, perbicaraan perlu dihabiskan dan adanya keperluan untuk mahkamah membuat ketetapan.

“Cahaya di hujung terowong semakin malap.

“Mahkamah akan timbangkan cadangan perbicaraan sama ada secara hibrid dengan menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada, sekiranya boleh dilakukan mahkamah akan maklumkan kepada kedua-dua pihak.

“Ini akan dilaksanakan sekiranya status MySejahtera Rosmah masih kekal warna itu, jika ianya sudah bertukar biru kita akan kembali seperti biasa.

“Saya tetapkan 23 dan 24 Disember tarikh sambung bicara,” katanya.

Rosmah ketika ini sedang berdepan dengan prosiding bela diri atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar hibrid di sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan. – MalaysiaGazette