KUALA LUMPUR – Warga emas adalah golongan perlu diberikan perhatian, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal bersendirian di rumah.

Berkumpul dan melakukan aktiviti dalam satu kumpulan kecil adalah perkara yang boleh menggembirakan hati mereka.

Dengan kemudahan tempat dan aktiviti yang diberikan, sudah pasti, kesihatan golongan ini dapat dijaga dengan baik.

Peranan seperti itu digalas dengan sebaik-baiknya oleh Pusat Aktiviti Warga Emas (Pawe) Cheras Baru.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ini telah berjaya memberikan keselesaan mental dan emosi kepada warga emas yang hadir melakukan pelbagai aktiviti yang disediakan.

Pengerusi Pawe Cheras Baru Halijah Yahaya berkata, pusat berkenaan mengambil inisiatif menggemberikan warga emas yang berkunjung ke situ.

“Mereka ini daripada pelbagai latar belakang. Ada yang tak pernah bekerja, ada pesara, ada yang mengasuh cucu dan macam-macam lagi.

“Ada juga dalam kalangan mereka yang berasa sunyi di rumah, jadi di sinilah tempat riadah untuk mereka,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Katanya, warga emas daripada pelbagai bangsa ini hadir ke Pawe untuk sama-sama melakukan aktiviti.

“Sebelum pandemik, Pawe menjadi tumpuan ahli-ahli kami. Tapi selepas Covid-19, ramai yang tak dapat datang.

“Kita pun faham, kerisauan mereka terhadap jangkitan ini memandangkan warga emas adalah golongan berisiko,” katanya.

Jelasnya, kebanyakan warga emas yang tidak dapat menahan emosi kerana bebanan yang diberikan oleh anak-anak.

“Macam-macam latar belakang mereka ini. Tetapi, datang sini jumpa kawan-kawan, masalah hilang, hati senang.

“Kita sedaya upaya membantu mereka dengan menyediakan pelbagai aktiviti,” jelasnya lagi.

Mengakui peruntukan yang diterima daripada kerajaan adalah langkah terbaik, Halijah berkata, usaha itu menunjukkan keprihatinan terhadap warga emas.

“Syukur dan terima kasih daripada kami NGO Pawe untuk kerajaan.

“Peruntukan yang diberikan akan dimanfaat dengan pelbagai aktiviti lagi-lagi kami berhasrat mahu lebih ramai warga emas ke sini,” katanya.

Jelasnya aktiviti harian yang diadakan adalah seperti seni kraf, sulaman dan juga kelas mengaji.

“Selain itu, ada juga aktiviti kesihatan seperti taichi dan senaman yang lain.

“Kami seronok apabila melihat senyuman daripada waga emas yang hadir.

“Mereka boleh datang sini untuk bersantai, membaca akhbar, berbual atau memasak bersama-sama,” ujarnya.

Menerima dana daripada kerajaan, Pawe Cheras sentiasa memastikan setiap wang yang diterima akan dimanfaatkan kepada warga emas.

“Terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa membantu Pawe.

“Kami terhutang budi kepada kerajaaan yang sentiasa menyalurkan peruntukan kepada kami,” katanya lagi.

Menerusi pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, geran operasi NGO diperuntukkan sebanyak RM19 juta untuk operasi institusi warga emas. -MalaysiaGazette