Pemandu lori muatan bijih besi maut di tempat kejadian di Gebeng, Kuantan, Pahang semalam.

KUANTAN – Seorang pemandu lori maut selepas dihempap palang had ketinggian dalam kemalangan di Jalan Perindustrian Gebeng dekat sini lewat petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, insiden tersebut melibatkan sebuah lori bijih besi di kawasan Kilang Kilang Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP)

Hasil siasatan awal mendapati pemandu ketika dalam kerja – kerja memindahkan muatan bijih besi dalam kawasan kilang berkenaan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba dipercayai pemandu telah terlanggar palang had ketinggian disebabkan bucket tidak diturunkan lalu palang had ketinggian terbabit jatuh diatas bahagian kepala mangsa.

“Akibat kemalangan tersebut, mangsa berusia 49 tahun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Kamarulzaman, bedah siasat akan akan dijalankan selepas keputusan ujian swab Covid-19 diperoleh.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan dan hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku atas kecuaian pemandu,” ujarnya.

Bagaimanapun hasil pemeriksaan mendapati pemandu tiada rekod saman lampau dan kes di siasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987. – MalaysiaGazette