taktik
Azlan menunjukkan contoh jenis beg plastik diedarkan sindiket perjudian yang menggunakan taktik terbaharu kod QR untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

MELAKA – Polis Melaka berjaya menumpaskan taktik terbaharu sindiket judi di negara ini menggunakan kod QR yang dicetak pada beg plastik untuk ‘memancing’ pelanggannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Azlan Abu berkata, kejayaan itu susulan rampasan beg plastik berkenaan yang diedarkan ahli sindiket secara percuma kepada tiga kedai runcit di Krubong di sini.

Menurutnya, usaha menjadikan Melaka sebagai negeri kedua menggunakan taktik itu dipatahkan hasil risikan polis bermula ketika waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

“Sindiket ini menyasarkan Melaka selepas bermula di negeri jiran sebelum ini, namun kepantasan Polis Melaka berjaya mematahkannya daripada aktif dalam satu serbuan dibuat pada 14 Mac lalu.

“Dalam serbuan itu, kita berjaya merampas tiga bungkusan beg plastik yang baru diedarkan secara percuma ahli sindiket di tiga buah kedai runcit sekitar Krubong,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Mengulas lanjut Azlan berkata, hasil siasatan mendapati penggunakan beg plastik pelbagai saiz itu sama dengan modus operandi sindiket sama yang bergerak aktif di negeri jiran sebelum ini.

“Sasaran mereka adalah kedai-kedai runcit di taman-taman perumahan dan kampung, malah kita percaya peruncit berkenaan juga mendapat komisyen bergantung kepada ‘kelarisan’ plastik terbabit.

“Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan peruncit yang hanya memberitahu didatangi individu memberikan plastik secara percuma untuk kegunaan pelanggan mereka,” katanya.

Tambahnya, pelanggan hanya perlu mengimbas kod QR pada plastik berkenaan sebelum mereka dapat mengakses laman web judi syarikat terbabit.

“Seterusnya, pelanggan diminta mendaftar melalui kod OTP yang dihantar ke telefon bimbit mereka.

“Malah, sebagai ‘penghargaan’ sindiket juga dikesan memberi kredit percuma antara RM5 ke RM20 yang menarik minat pelanggan,” katanya.

Azlan berkata, siasatan lanjut mendapati modus operandi terbabit tidak lagi digunakan sindiket berkenaan, namun pihak polis akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa untuk mengekang perubahan taktik sindiket. – MalaysiaGazette