Komander Briged Tengah PGA Cheras, SAC Muhammad Abdul Halim (tengah) menunjukkan gambar antara tangkapan dan rampasan Briged Tengah PGA bagi tahun 2021 (Januari- Disember) pada sidang media khas di Bilik Mesyuarat Gerakan Briged PGA Cheras, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 15 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah mencatatkan sejarah apabila berjaya membuat tangkapan dan rampasan tertinggi bernilai RM97.5 juta bermula awal tahun hingga semalam.

Menurut Komander PGA Briged Tengah, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, nilai rampasan itu merupakan hasil daripada 176 serbuan dan tangkapan seramai 1,119 orang di sempadan perairan Selangor dan Barat Johor.

“Pecahan tangkapan itu melibatkan 194 warganegara Malaysia dari pelbagai bangsa iaitu 190 lelaki dan empat perempuan, manakala 925 adalah warganegara asing dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Sri Lanka, Pakistan dan Vietnam yang terdiri daripada 616 lelaki, 295 perempuan dan 14 kanak-kanak,” katanya pada sidang media hari ini.

Komander Briged Tengah PGA Cheras, SAC Muhammad Abdul Halim bercakap pada sidang media khas Kejayaan Tangkapan dan Rampasan Briged Tengah PGA bagi tahun 2021 (Januari- Disember) di Bilik Mesyuarat Gerakan Briged PGA Cheras, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 15 DISEMBER 2021.

Bagaimanapun, menurut Muhammad, tangkapan membabitkan warganegara Malaysia itu rata-rata melibatkan penyeludup peringkat bawahan bukan kategori perancang utamanya.

‘Tangkapan-tangkapan kita buat ini yang melibatkan warganegara Malaysia adalah peringkat bawahan, semua peringkat buruh sahaja, sebagai pekerja biasa bukan peringkat mastermind (perancang utama atau dalang),” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, rokok seludup menjadi nilai rampasan terbesar iaitu sebanyak RM41.6 juta, arak seludup dan ketum (RM38.3 juta), kenderaan (RM9.1 juta), logam dan tembaga (RM3.1 juta), barangan kawalan (RM2.6 juta) dan bahan letupan (RM1.4 juta).

Selain itu, wang tunai dan lain-lain rampasan berjumlah RM802,137 juga antara penyumbang nilai rampasan termasuk dadah sebanyak RM202, 650 hidupan dan tumbuhan dilindungi bernilai RM120,500.

Kesemua serbuan itu merupakan kejayaan daripada Op Nyah 1, Op Benteng, Op Kontraban dan Op Khazanah yang hasilnya disiasat di bawah sepuluh akta-akta membabitkan kes berkenaan.- MalaysiaGazette