SEBERANG PERAI – Sebanyak 125 mesin air bertapis bernilai RM875,000 disita Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) menerusi Ops Sita di seluruh negeri ini hari ini.

Ketua Bahagian Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) negeri, Mohd Wazir Khalid berkata, tindakan itu dilakukan pihaknya selepas mendapati kesemua mesin air itu tidak berlesen selain menggunakan air serta elektrik secara domestik.

Jelas Wazir, mesin yang diletakkan di lokasi tidak bersesuaian itu juga boleh mendatangkan pencemaran mikrob hingga boleh mengakibatkan keracunan kepada pengguna.

Mohd Wazir.

Hasil pemantauan pihaknya selama dua minggu juga mendapati mesin jualan air bertapis itu meningkat berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 86 mesin bernilai RM557,000.

“Kita tidak mempunyai data berhubung individu yang memohon lesen mesin jual air bertapis di negeri ini tetapi didapati jumlah mesin yang dipasang sangat banyak.

“Lesen mesin jual air bertapis ini penting kerana ia membantu pihak kita melakukan pemantauan sekali gus pengguna terhindar dari minum air yang tercemar.

“Pemilik perlu memohon lesen berikutan Kementerian Kesihatan mahu memberi kesedaran supaya air diminum pengguna berkualiti dan selamat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan Ops Sita Mesin Air Bertapis di sekitar daerah Seberang Perai Utara di sini hari ini.

Mengulas lanjut Mohd Wazir berkata,  antara kesalahan lain yang dikenal pasti adalah pemilik mesin air itu meletakkan kandungan ayat mengenai kebaikan air bertapis hingga boleh memperdaya pengguna.

“Kita memberi tempoh selama enam bulan kepada pemilik mesin air ini tampil. Sekiranya enggan, kita akan bawa kepada pihak pendakwaraya untuk tindakan melupuskan mesin yang disita,” katanya.

Tindakan penyitaan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(f) Akta Makanan 1983 atas kesalahan di bawah Peraturan 360C(4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985. – MalaysiaGazette

VIDEO BERKAITAN