Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Semua kaunter bayaran Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan daerah negeri ini tidak lagi sesak dengan kehadiran pengunjung pembayar saman.

Sehubungan itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf meminta orang ramai mengambil peluang ini untuk membayar saman tanpa perlu bersesak-sesak atau menanti saat-saat akhir.

“Memandangkan tempoh diskaun dilanjutkan, jadi pihak polis menasihati orang ramai untuk menyelesaikan saman sebelum tempoh tamat.

“Ini bagi mengelakkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) jika terlalu ramai di kawasan kaunter, jadi sementara lengang ini orang ramai perlu ambil peluang,” katanya ketika dihubungi.

Sehingga 14 Disember, seramai 926 orang telah melunaskan 6,451 saman mereka.

Polis Pahang merekodkan jumlah keseluruhan kutipan sebanyak RM331,330 melibatkan kutipan e-pembayaran RM77,190.00 dan bayaran tunai sebanyak RM254,140. – MalaysiaGazette