KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Terengganu FC (TFC) mengumumkan kemasukan pemain import baharu posisi pertahanan iaitu Pape Abdoulaye Diakite untuk membantu pasukan itu menghadapi Liga Malaysia musim depan.
Pemain yang berasal dari Senegal itu memiliki ketinggian 1.94 meter dan ia dilihat dapat membantu pasukan kendalian Nafuzi Zain membentuk pertahanan yang ampuh terutama dari aspek fizikal.
Diakite, 28, sebelum ini pernah beraksi bersama dua pasukan gergasi liga utama Vietnam iaitu pasukan Ho Chi Min City dan Saigon FC dan mempunyai pengalaman dalam saingan liga tertinggi di negara tersebut termasuk aksi Piala AFC.
Nafuzi menyifatkan kehadiran pemain yang mempunyai kelebihan dari segi ketinggian itu dapat membantu pasukannya menutup kekurangan pada musim lalu terutama melibatkan perebutan bola diudara.
Beliau juga mengharapkan Diakite mampu menyesuaikan diri secepat mungkin dengan cara pasukan Terengganu FC bermain kerana saingan musim hadapan dijangka bakal lebih mencabar.
Namun baginya, melihat pada pengalaman pemain ini bersama pasukan lamanya, beliau percaya DIakite mampu memberi impak yang besar buat pasukan ini.
“Seperti yang kita tahu kehadirannya adalah bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain pertahanan dari Filipina yang beraksi bersama Terengganu FC pada musim lepas iaitu Carli De Murga.
“Diakite bakal menyarung jersi bernombor 44 dan pemain pertahanan tengah ini mengharapkan kehadirannya dapat membantu pasukan ini memburu kejuaraan bagi saingan Liga Malaysia 2022,” tulis Terengganu FC dalam satu hantaran di media sosial. – MalaysiaGazette