Amang Seksual Penjara
Malek Saifullizan Md Husin dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual terhadap remaja berusia 15 tahun.

MELAKA – Padah melakukan amang seksual terhadap remaja lelaki berusia 15 tahun, seorang lelaki pekerja sebuah hotel dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen Melaka hari ini.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh, Malek Saifullizan Md Husin, 35, menjalani kaunseling dan pengawasan polis selama dua tahun sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 15 tahun di sebuah hotel di Taman Melaka Raya jam 5.30 petang 9 Disember lalu.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian mangsa yang juga pelajar Tingkatan 3 sebuah sekolah agama di Muar, Johor memaklumkan kepada ibunya tertuduh yang tidak dikenalinya telah mengajaknya masuk ke dalam bilik stor untuk mengambil bantal tambahan.

Mangsa sebelum itu, mendaftar masuk di sebuah hotel di Jalan Merdeka Taman Melaka Raya bersama ibu dan adik beradiknya.

Semasa berada di dalam stor terbabit, tertuduh telah menyuruhnya berbaring di atas katil untuk melakukan fisioterapi sebelum tiba-tiba tertuduh terus membuka seluar dan seluar dalam pengadu.

Tertuduh kemudian melakukan amang seksual tanpa kerelaan pengadu yang kemudian disedari salah seorang rakan sekerja tertuduh yang masuk ke bilik stor dan melihat mangsa sedang berbaring di atas katil.

Dia turut meminta pengadu diam dan merahsiakan apa yang telah terjadi, namun dalam keadaan takut mangasa terus menceritakan kejadian kepada ibu yang segera membuat laporan polis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahida Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh yang masih bujang dalam rayuannya meminta hukuman ringan kerana perlu menanggung ibu dan kakak yang sakit.

Anis Wahida bagaimanapun memohon mahkamah hukuman berat kesalahan serius mendatangkan kesan trauma kepada mangsa.

Elesabet kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun selain mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling dan pengawasan polis selama dua tahun sebaik selesai menjalani hukuman penjara. – MalaysiaGazette