Omicron Covid-19 variant Christmas New Year celebrations prevention Minister of Health, Khairy Jamaluddin Abu Bakar at a news conference on the latest development of Covid-19 in Malaysia. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 01 DECEMBER 2021.
Minister of Health, Khairy Jamaluddin Abu Bakar at a news conference on the latest development of Covid-19 in Malaysia. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 01 DECEMBER 2021. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media mengenai perkembangan terkini Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 01 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kes terbaharu varian Omicron dikesan di negara ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dikesan adalah sebanyak dua kes.

“Kedua-dua kes ini merupakan jangkitan import dari luar negara.

“Kes yang baru dikesan ini merupakan seorang kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun, warganegara Malaysia yang menetap bersama keluarga di Lagos, Nigeria.

“Keputusan ujian RT-PCR COVID-19 ke atas kes sebelum berlepas ke Malaysia adalah negatif,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau berkata, kanak-kanak itu tiba di Malaysia bersama ibu dan adik perempuannya pada 5 Disember lalu dari Lagos dengan penerbangan transit di Doha, Qatar.

“Kes dan ahli keluarganya telah menjalani ujian RT-PCR COVID19 semasa ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mereka telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] dan diarahkan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah.

“Keputusan ujian RT-PCR kes semasa ketibaan didapati positif Covid-19 pada 7 Disember 2021 dan kes tidak mempunyai gejala serta diarahkan menjalani isolasi di rumah selama 14 hari,” katanya.

Jelas Khairy, kontak rapat kepada kes terdiri daripada ibu, adik perempuan, bapa serta pemandu teksi yang membawa kanak-kanak itu dan keluarganya dari KLIA ke tempat kediaman.

“Semua ujian yang dijalankan ke atas ibu dan adik perempuannya iaitu ujian sebelum berlepas ke Malaysia semasa ketibaan, pada hari kelima dan pada hari ke-11 menunjukkan keputusan negatif.

“Ujian RT-PCR Covid-19 bagi pemandu teksi sedang dijalankan. Ketiga-tiganya tidak bergejala dan diarahkan menjalani arahan kuarantin selama 14 hari manakala bapa kes pula telah tiba di Malaysia pada 12 Disember 2021 dan menjalani arahan kuarantin di sebuah stesen kuarantin swasta. Ujian RTPCR bapa kes pada hari ketibaan adalah negatif,” jelasnya.

Khairy berkata, terdapat seramai 35 kontak dalam penerbangan iaitu empat baris tempat duduk di hadapan, belakang, sebelah kiri, dan sebelah kanan.

“Keputusan ujian RT-PCR Covid-19 semasa ketibaan dan pada hari kelima bagi kesemua kontak ini adalah negatif.

“Pemantauan kes dan kontak yang dikenal pasti dilaksanakan secara menyeluruh dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, pihaknya bersama Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah akan meneruskan siasatan lanjut termasuk siasatan kontak semasa dalam penerbangan.

“Buat masa ini, punca jangkitan kes masih dalam siasatan dan KKM meneruskan aktiviti kawalan dan pencegahan Covid-19 termasuk varian Omicron di semua pintu masuk antarabangsa dan dalam komuniti.

“Justeru itu, KKM menggalakkan supaya setiap individu mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 agar tahap perlindungan yang optimum dapat dicapai bagi mengekang penularan wabak ini di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Khairy memaklumkan hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan, sebanyak 18 kes lagi menunjukkan kemungkinan varian Omicron dan kini sedang menunggu keputusan pengesahan daripada jujukan genom penuh.

“Keputusan dijangka akan diperolehi pada 17 Disember 2021.

“Buat masa ini kita tak boleh maklumkan dari negara mana semua kes ini sehingga keputusan diperolehi,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast