Gambar hiasan

PASIR MAS – Polis berjaya menumpaskan satu kegiatan pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan syarikat penghantaran selepas menahan seorang lelaki berusia 30 tahun di hadapan sebuah tadika di Taman Rantau Mas dekat Rantau Panjang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, polis menemukan 1,047 gram dadah jenis syabu dan 8,000 biji pil kuda bernilai RM116,000 dalam bungkusan plastik tertera nama sebuah syarikat penghantaran yang dibawa suspek, dalam kejadian pukul 5.45 petang itu.

Beliau berkata, ia bermula apabila anggota polis ternampak sebuah beg galas dalam raga motosikal dinaiki suspek, sebelum menghampirinya dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, namun suspek dilihat cuba melarikan diri.

“Cubaan suspek melarikan diri tidak berjaya apabila berlaku pergelutan, dan pemeriksaan lanjut ke atas beg galas yang dibawanya itu menemukan satu bungkusan plastik berwarna putih dan merah tertera nama salah sebuah syarikat penghantaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya lelaki yang mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah itu didapati positif dadah jenis Methamphetamin, dan lelaki itu juga mengaku hanya berperanan sebagai penghantar dengan mendapat upah RM300 daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai “Faris”.

“Polis turut merampas wang tunai RM7,925 serta motosikal yang digunakan, dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Susulan daripada maklumat itu, Mohd Nasaruddin berkata, sepasukan anggota polis menyerbu sebuah premis niaga di Banggol Kulim, di sini, pada pukul 12.19 tengah malam tadi dan menahan tiga lelaki berusia 25, 30 dan 39 tahun.

Beliau berkata, dua pil Epam ditemukan dalam poket seluar lelaki berusia 30 tahun yang dikenali sebagai Faris, manakala suspek berumur 25 tahun itu pula didapati positif dadah jenis Benzodiazepines, dan ketiga-tiga mereka akan disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama. – Bernama