ADUN Ulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad bercakap pada sidang media selepas selesai membahas di Sidang Undangan Dewan Negeri di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 16 DISEMBER 2021.

IPOH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhammad Arafat Varisai Mahamad mencabar Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria untuk berdebat secara terbuka berhubung isu kenaikan harga barangan.

Pemimpin pembangkang dari PKR itu berkata, surat cabaran debat itu telah dihantar ke pejabat Razman hari ini.

“Saya kesal dengan jawapan tidak bertanggungjawab daripada Razman. Oleh kita telah hantar surat jemputan debat isu kenaikan harga barang, sudah ada cop akuan terima pejabat exco.

“Saya mencabar Razman selaku Exco berdebat secara terbuka dengan saya berkenaan harga barang.

“Dalam debat nanti saya nak bagi cadangan atau kaedah yang perlu diambil exco tentang kaedah penurunan harga barang,” katanya pada sidang media selepas sidang Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Pada Selasa lalu, Muhamad Arafat membawa seekor ayam segara ketika sesi perbahasan Belanjawan 2022 Perak yang bertujuan menegur Razman agar prihatin dengan masalah kenaikan harga barang.
Semalam beliau kembali mencetuskan kontroversi apabila diarah keluar dewan oleh Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid pada sesi penggulungan Bajet Perak 2022 petang ini kerana gagal mematuhi Perintah Tetap 44 (2) DUN Perak.
Kekecohan berlaku selepas Muhammad Arafat tidak berpuas hati kerana Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Abdul Yunus Jamhari gagal menjawab isu kenaikan harga sayur-sayuran dan enggan meminta maaf kerana tidak memberi penjelasan. – MalaysiaGazette