Keadaaan yang dinaiki lima beranak remuk teruk selepas dihempap pokok di , Taman Merdeka, Batu Berendam, Melaka.

MELAKA – Lima sekeluarga nyaris maut selepas kereta Proton Saga dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Meranti 6, Taman Merdeka, Batu Berendam di sini, petang tadi.

Mangsa, Nurfarahidatul Natasya Abd Rashid, 21, yang cedera ringan berkata, ketika kejadian kira-kira jam 2.20 petang itu mereka sekeluarga sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Datuk Tamby Chik Karim selepas membeli barangan keperluan rumah di pusat bandar.

Menurutnya, ketika itu cuaca mendung dan hanya disertai angin sebelum tiba-tiba ‘dunianya’ menjadi gelap.

“Kejadian berlaku begitu pantas sebelum tiba-tiba ‘dunia’ saya terasa gelap dan tersedar apabila orang ramai bantu keluarkan saya dari kereta Proton Saga ayah yang sudah musnah dihempap pokok besar.

“Pada waktu yang sama, saya terlihat mulut ibu berdarah dan orang ramai membantu membuka pintu sebelah ibu yang sudah remuk manakala adik perempuan, abang dan ayah juga dalam keadaan terkejut,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Beberapa orang melihat kereta yang dihempap pokok besar di Taman Merdeka, Batu Berendam, Melaka.

Dia bagaimanapun bersyukur kerana tiada kecederaan serius dihadapi ahli keluarganya itu kecuali ibu, Mahiran Mohd Said, 55, yang dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Melaka kerana mengalami pendarahan dalam mulut.

Bapanya, Abd Rashid Tawil, 59, hanya mengalami sakit dada selain abang dan adik perempuannya, Mohd Farithezwan, 26 dan Farah Nurbalqis, 19, cedera ringan.

“Saya harap pihak terbabit lebih peka dan dapat bertanggungjawab di atas apa yang terjadi bagi menjamin keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

“Sepatutnya, mereka perlu memantau keadaan pokok besar di tepi jalan raya lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh yang kerap berlaku bencana alam seperti banjir dan pokok tumbang,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Hishamudin Umat berkata, berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.27 petang sebelum sepasukan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi anggota bomba mendapati sebatang pokok tumbang melintangi jalan dan menghempap sebuah kereta jenis Proton Saga.

“Apabila tiba, mangsa telah berjaya dikeluarkan dan hanya mengalami cedera ringan sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka oleh unit Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS),” katanya. – MalaysiaGazette