cockeyed molest GrabFood rider Tamarind Square Cyberjaya
ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof

KUALA LUMPUR – Polis Sepang telah membuka kertas siasatan dan memulakan siasatan berhubung pencemaran sumber air lembangan di Sungai Semenyih.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis berkaitan insiden pencemaran bau itu yang disyaki berlaku pada jam lebih 8.58 pagi semalam mengenai bau abnormal pada kadar lima ton yang dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih di Jenderam Hilir, Dengkil.

Katanya, akibat pengesanan pencemaran bau berkenaan di sungai tersebut, LRA Sungai Semenyih terpaksa diberhentikan tugas serta merta pada jam 9 pagi oleh Air Selangor.

“Pengadu telah memaklumkan mengenai insiden pencemaran bau itu kepada pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan pihak berkuasa yang lain iaitu Suruhanjaya Air Negara (SPAN), melalui group whatsapp berkenaan insiden pencemaran tersebut pada jam 9.10 pagi.

“Hasil pemeriksaan pengadu selaku Pakar Air Selangor di Sungai Semenyih pada jam 9.52 pagi telah mengesan aliran pencemar disyaki di alur air yang memasuki Sungai Semenyih,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan tengahari tadi.

Tambah beliau, Pasukan Air Selangor (PAKAR),Jabatan Alam Sekitar (JAS), LUAS dan SPAN telah bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan awal dan mengesyaki pencemaran berpunca daripada sebuah kilang.

Justeru katanya, penguasa loji berkenaan telah mengarahkan weir gate diturunkan apabila bau di kesan bagi mempercepatkan flushing, loji dihenti tugas pada jam 9.30 pagi dan mula beroperasi semula pada jam 12.30 tengahari.

“Pemeriksaan teliti mendapati terdapat saluran bawah tanah (bawah longkang) yang tak dapat dipastikan punca dan point titik, sekeliling premis diperiksa namun tiada penemuan, saliran efluen telah dipasang bagi menahan discharge dari masuk ke dalam Sungai Semenyih.

“Siasatan yang dijalankan kemudian mendapati terdapat satu aliran bawah tanah yang disyaki mengeluarkan discharge yang kelihatan seakan minyak.

“Malah, sebanyak empat bag Activated Carbon diletakkan pada oil boom bagi menyedut dan meneutralkan minyak di atas air,” ujarnya.

Jelas Wan Kamarul, siasatan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor di lokasi pencemaran itu telah mengambil lima sampel air di laluan sebagaimana yang dinyatakan pengadu serta di muka sauk LRA.

Malah katanya, sampel air juga diambil dari dalam premis kilang yang disyaki, sampel perbandingan yang diambil oleh pihak pengadu iaitu Pakar Air Selangor diserahkan turut kepada Pegawai Penyiasat untuk perbandingan.

“Kesemua sampel air itu telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut.

“Pemilik premis berkenaan juga telah dipanggil untuk dirakam keterangan berhubung insiden pencemaran tersebut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan secepat mungkin dan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” ujar Wan Kamarul.- MalaysiaGazette