Secretary-General of DAP, Lim Guan Eng. chopsticks Chinese Malaysian Mahathir Mohamad
Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR – Penangguhan untuk membahaskan Akta 352 pada Isnin depan merupakan taktik licik untuk mengelakkan sebarang kesan politik negatif ke atas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak esok.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, jika Rang Undang-Undang (RUU) tersebut diluluskan oleh kerajaan semalam, maka Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan berdepan reaksi bantahan daripada pengundi.

“Selepas hari mengundi esok, kerajaan boleh menyambung semula untuk meluluskan RUU yang tidak memihak kepada kepentingan rakyat.

“Meningkatkan denda kompaun secara drastik sebegini adalah satu tindakan menghukum rakyat dengan amat keras sekali.

“Kerajaan tidak sepatutnya mengambil pendekatan menghukum untuk menangani pandemik Covid-19, sebaliknya harus melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang bersifat rehabilitasi dan mitigasi bagi membendung Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Guan Eng, pendekatan menghukum rakyat ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan sedang lari dari tanggungjawab atas kegagalan mengurus Covid-19 dengan kini meletakkan kesalahan di atas bahu rakyat.

Guan Eng turut mendakwa langkah tersebut bukan sahaja salah, malah menonjolkan ketidakcekapan kerajaan.

“Langkah memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih efektif ialah dengan menunjukkan kepimpinan melalui teladan dengan menghentikan dasar tunggang langgang dan pusingan U dalam SOP serta menghentikan amalan antara dua darjat dan penyalahgunaan kuasa.

“DAP akan menolak RUU ini pada hari Isnin agar rakyat tidak dipertanggungjawabkan dengan tidak adil dan dihukum dengan keras disebabkan kegagalan kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Guan Eng turut mendakwa, Jawatankuasa Khas Pengurusan Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak pernah membincangkan mengenai Akta 342.

Beliau mempersoalkan apa gunanya jawatankuasa khas berkenaan jika perkara yang sepatutnya dibincangkan langsung tidak pernah dibentangkan dalam mesyuarat?

“Tiada sebarang kertas pembentangan tentang perkara ini di mesyuarat-mesyuarat yang lepas. Ismail sepatutnya menjelaskan kenapa perkara ini tidak dibincangkan dalam Jawatankuasa Khas terlebih dahulu sebelum dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bu Bakar memaklumkan Dewan Rakyat bahawa pindaan RUU Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang dijadual dibentangkan pada Khamis ditangguhkan pada Isnin, selaras di bawah Peraturan Mesyuarat 62. – MalaysiaGazette