Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Pejabat Ketua Menteri Sarawak menafikan laporan bahawa helikopter yang membawa Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan rombongan terpaksa melakukan pendaratan cemas di sini petang ini.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Menteri, tidak timbul isu pendaratan cemas seperti yang dilaporkan kerana juruterbang telah memilih untuk mendarat di Padang Kawad Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) susulan cuaca buruk kerana hujan lebat dan tahap penglihatan yang rendah selepas Ketua Menteri itu bersama rombongannya pulang dari Gedong.

Kenyataan itu turut mengesahkan bahawa semua penumpang selamat.

Terdahulu, satu klip video berdurasi 30 saat, yang memaparkan helikopter itu membuat pendaratan cemas dalam keadaan cuaca buruk, tular di media sosial.

Abang Johari, yang merupakan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), adalah calon gabungan politik itu di kerusi Dewan Undangan Negeri Gedong pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12.

Pengundian hari ini berlangsung dalam keadaan cuaca yang agak buruk di beberapa kawasan pilihan raya. – Bernama