KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan meningkat pada minggu depan, dengan indeks petunjuk pasaran berada pada julat 1,490 hingga 1,510, kata peniaga.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, sentimen di bursa tempatan dijangka kekal berhati-hati dalam persekitaran turun naik dalam pasaran global tetapi pasaran domestik akan terus disokong oleh kemungkinan aktiviti memperelokkan akaun pada akhir tahun.
“Tekanan jualan di rantau ini dalam persekitaran turun naik yang meningkat akan memberi impak negatif terhadap sentimen pasaran kami.
“Dari aspek teknikal, kita akan menyaksikan paras halangan segera pada 1,515 mata dan paras sokongan pada 1,480 mata,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Hong Leong Bank Research dalam nota berkata bagi minggu baru berakhir, pasaran kewangan global menyaksikan minggu turun naik dalam persekitaran risiko acara utama dan pengumuman ekonomi yang menunjukkan kepada peningkatan inflasi yang lebih cepat daripada jangkaan.
Katanya bank-bank pusat utama beralih kepada pendirian yang lebih cenderung kepada kadar faedah tinggi pada minggu ini, merangkumi daripada kenaikan kadar kepada pengurangan aset yang lebih cepat, serta menyediakan panduan dasar yang ketat.
“Kami menjangka minggu akan datang yang tenang berikutan tahun ini hampir kepada pengakhirannya. Bagaimanapun, di ruang Asia dilihat lebih sibuk, dengan bacaan Indeks Harga Pengguna (IHP) dari Jepun, Malaysia, Hong Kong dan Singapura dijangka akan diumumkan. Singapura akan turut mengeluarkan jumlah pengeluaran perindustriannya bagi November,” katanya.
Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 13.13 mata untuk mengakhiri minggu ini pada 1,502.01 daripada 1,488.88 sebelum ini.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 60.53 mata kepada 10,920.32, Indeks FBMT100 naik 61.14 mata kepada 10,622.71, Indeks FBM Emas Shariah menambah 30.38 mata kepada 11,744.63, FBM ACE naik 49.50 mata kepada 6,277.82 manakala FBM 70 merosot 46.18 mata kepada 13,999.85.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 173.75 mata kepada 15,283.08, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 3.50 mata kepada 196.8 dan Indeks Penjagaan Kesihatan menambah 11.95 mata kepada 2,185.30 .
Indeks Tenaga merosot 2.04 mata kepada 675.45, Indeks Teknologi susut 0.83 mata kepada 94.36 dan Indeks Perladangan berkurangan 36.52 mata kepada 6,429.97.
Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 13.77 bilion unit bernilai RM10.46 bilion daripada 17.03 bilion unit bernilai RM10.20 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 9.04 bilion saham bernilai RM9.41 bilion daripada 9.45 bilion saham bernilai RM8.92 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan waran, bagaimanapun, merosot kepada 1.20 bilion unit bernilai RM185.66 juta daripada 1.50 bilion unit bernilai RM242.27 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE jatuh kepada 3.56 bilion saham bernilai RM866.97 juta daripada 5.47 bilion saham bernilai RM1.03 bilion pada minggu sebelumnya. – MalaysiaGAzette