Banjir Melaka Mangsa
Anggota bomba memindahkan warga emas kurang upaya di Kampung Lubok China, Alor Gajah

MELAKA – Jumlah mangsa bencana banjir yang melanda negeri ini terus meningkat kepada 288 orang kesemuanya di daerah Alor Gajah, setakat jam 4 petang ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt. Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, susulan itu tiga lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka menjadikan jumlah keseluruhan lapan PPS aktif.

“Setakat jam 4 petang tadi, kita merekodkan 288 penduduk daripada 63 keluarga terjejas telah berpindah ke lapan PPS dan jumlah itu meningkat sejak PPS dibuka 12 tengah malam tadi.

“Kesemua mangsa yang berada di PPS adalah bagi daerah Alor Gajah daripada 10 penempatan penduduk yang ditenggelami banjir.

“Manakala dua lagi daerah iaitu Jasin dan Melaka Tengah, tiada PPS dibuka biarpun terdapat 15 kawasan kampung dan taman perumahan turut terjejas,” katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan tadi.

Lapan PPS aktif adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal, SK Cherana Puteh, SK Telok Berembang, SMK Seri Pengkalan, Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam (JAIM) Jelatang, SK Belimbing Dalam, SMK Lubok China dan Balai Raya Kampung Paya Lebar.

Tambahnya, secara keseluruhannya bagi ketiga-tiga daerah, 25 kawasan terjejas, meningkat berbanding hanya 19 kawasan awal pagi tadi.

Di Alor Gajah kawasan terjejas adalah Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Jeram, Kampung Taboh Naning, Pekan Lubok China, Ramuan China Besar, Taman Seri Bayu 1 dan 2, Kampung Pengkalan dan Kampung Panchor.

Manakala bagi daerah Melaka Tengah, antara 14 kawasan banjir adalah di Taman Bukit Beruang Melawis, Batu Hampar, Peringgit, Malim Jaya, Hang Tuah Mall, Jalan Ong Kim Wee, Melaka Baru, Kampung Sungai, Putat, Empangan Klebang, Taman Merdeka dan Kampung Morten selain Kampung Lubuk Kasau bagi daerah Jasin. – MalaysiaGazette