Sebanyak 3,701 kes sembuh Covid-19 telah dilaporkan di dalam negara dalam masa 24 jam  lalu.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,701 kes sembuh Covid-19 telah dilaporkan di dalam negara dalam masa 24 jam  lalu.

Angka itu sekaligus menjadikan sebanyak 2,634, 381 kes kumulatif sembuh atau 96.9 peratus dilaporkan setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

“Daripada 3,108 kes harian positif Covid-19 yang dilaporkan pada hari ini, sebanyak 57 kes atau 1.8 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5 dan sebanyak 3,051 kes atau 98.2 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru Dr. Noor Hisham berkata, daripada kes harian itu, sebanyak 37 adalah kes import iaitu melibatkan 31 warganegara dan enam lagi bukan warganegara.

Sementara itu, katanya, kes tempatan sebanyak 3,071 kes yang mana 2,939 daripadanya atau 95.7 peratus adalah warganegara manakala 132 lagi adalah bukan warganegara.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi  adalah sebanyak 390 kes manakala 211 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Dari segi kes kluster Covid-19, pada hari ini setakat 12 tengahari tadi hanya dua kluster baharu Covid-19 yang dikesan di negara ini berbanding tiga kluster yang dikesan semalam,” katanya.

Jumlah kluster setakat ini dilaporkan adalah sebanyak 6,079 kluster manakala jumlah  yang telah tamat sebanyak 5,827 sementara jumlah aktif adalah sebanyak 252.-MalaysiaGazette