Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon pada Perhimpunan Agung Perwakilan MCA ke-68 di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 19 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – MCA berhak mendapatkan kembali semua kerusi tradisinya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika memberi jaminan itu berkata, selain kerusi tradisi, kemungkinan parti itu juga akan mendapat kuota atau kerusi tambahan.

“Dalam PRU-15 nanti, kerusi tradisi MCA akan kembali kepada MCA. Bukan sekadar itu sahaja, mungkin bertambah lagi (jumlah) kerusi itu kerana kita mengutamakan kesetiaan.

“Kerusi tambahan ini akan diberikan tempat bagi kerusi yang pernah dimenangi oleh parti yang pernah bersama kita tetapi tidak setia. Kita wajib ambil dan rampas semula.

“Malah, saya ingin ulangi, parti bersekutu dalam BN juga jangan risau. Kita tidak kacau kerusi MCA, kita tidak kacau kerusi MIC tetapi akan ada kerusi yang diberikan kepada parti bersekutu atau parti Friends of BN,” katanya.

Beliau berkata demikian merasmikan Perhimpunan Agung Perwakilan MCA ke-68 di Dewan San Choon, Wisma MCA di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; Timbalan Presiden, Datuk Dr. Mah Hang Soon; dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Menurut Ahmad Zahid, semua pihak termasuk beliau tidak tahu bila PRU-15 akan diadakan tetapi mood yang tercipta di PRN Melaka pada 20 November lalu dan terbaharu di Sarawak semalam meletakkan BN dalam faktor lebih baik.

Kata beliau, biar pun Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan komponen BN tetapi semangat cinta kawan itu membuatkan BN memutuskan untuk tidak meletakkan mana-mana calon dalan PRN Sarawak.

“Hubungan BN dan GPS tetap terus terjalin erat. Kita tidak mahu putus sahabat dengan GPS.

“Hasil keputusan semalam memperlihatkan GPS memenangi 76 kerusi DUN daripada 72 kerusi pada PRN sebelum ini. Ertinya GPS atau rakan BN ini telah menambah empat kerusi tambahan banding PRN sebelum ini.

“Manakala parti yang di luar GPS cuma memperolehi enam kerusi berbanding dulu mereka menang 10 kerusi. Ini memperlihatkan rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil di Sarawak dan kerajaan itu bersahabat rapat dengan BN,” katanya.

Kata beliau, jika inilah mood yang sedang berada di hadapan mata sekarang, BN boleh menang sebagaimana Melaka dan Sarawak namun kuasa pembubaran itu atas nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Benar, kuasa pembubaran itu adalah nasihat Perdana Menteri kepada Ke Bawah Yang di-Pertuan Agong. Benar, jika PRU diadakan terlalu awal, soal pandemik belum selesai.

“Benar, masalah rakyat harus diselesaikan. Benar, terlalu banyak isu-isu yang harus diberikan pertimbangan. Benar, beberapa pemilihan dan penyelarasan harus dibuat juga dalam sistem ekonomi dan pentadbiran negara.

“Semuanya benar. Tetapi mana lebih baik, jika PRU-15 ditangguhkan terlalu lama, feel good factor tidak ada lagi dengan kita,” katanya. – MalaysiaGazette