Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jika semalam kes positif Covid-19 dicatatkan pada paras 3,108 kes, hari ini jumlah itu menurun kepada 2,589 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan itu jumlah kumulatif kes jangkitan virus tersebut meningkat kepada 2,721,544 kes.

Untuk rekod, jangkitan hari ini adalah yang terendah dalam tempoh 231 hari sejak 3 Mei lalu.

Daripada jumlah itu, 2,543 kes adalah penularan tempatan dengan melibatkan 2,427 warganegara dan 116 bukan warganegara.

Sejumlah 46 kes import dikesan hari ini dengan 35 daripada melibatkan warganegara dan 11 bukan warganegara.

Menurut Noor Hisham, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 379 kes dengan 307 daripada disahkan positif Covid-19 dan 72 lagi kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Kes memerlukan bantuan pernafasan 210 kes dimana 142 disahkan positif Covid-19, 68 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” kata Noor Hisham.

Jelas Noor Hisham lagi, daripada 2,589 kes yang direkodkan hari ini, 66 kes adalah kategori tiga hingga lima dan baki 2,523 adalah kategori satu dan dua.

Noor Hisham turut berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah menggerakkan 72 fasiliti kesihatan ke negeri-negeri yang terjejas.

Antaranya 43 fasiliti ke Pahang, 20 ke Selangor, lapan ke Kelantan dan satu di Negeri Sembilan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak lapan buah fasiliti kesihatan terputus hubungan namun masih beroperasi dan 21 buah fasiliti kesihatan tidak dapat beroperasi iaitu 20 di Selangor dan satu di Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette