Mohd Wazir (kanan) menunjukkan logo halal dan MeSTI pada bungkusan makanan kilang mi di Jalan Patani, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Walaupun memiliki sijil halal serta logo makanan selamat tanggungan industri (MeSTI) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebuah kilang memproses mi di Jalan Patani, di sini, masih gagal mematuhi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM).

Lebih teruk, pemeriksaan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Pulau Pinang membawa kepada penemuan najis tikus, lipas serta sebuah bekas tertera racun di dalam setor yang digunakan untuk menyimpan tepung serta bahan lain bagi memproses mi tersebut.

Satu bekas berisi bahan beracun ditempatkan dalam stor bahan mentah.

Ketua Bahagian BKKM Pulaun Pinang, Mohd Wazir Khalid berkata, serbuan dibuat susulan risikan selama dua minggu dan hasil pemeriksaan mendapati pemilik premis menempatkan mi sanggul dalam troli besi yang berkarat.

“Selain itu, mereka juga menggunakan surat khabar untuk melapik mi sanggul itu sedangkan ia salah kerana surat khabar mempunyai karbon sekali gus boleh menyebabkan berlaku pencemaran ke atas makanan siap itu.

“Lebih mengejutkan kita, apabila pemilik premis yang mempunyai sijil logo halal serta MeSTI itu gagal memastikan tahap kebersihan makanan ditetapkan,” katanya kepada pemberita sebaik selesai melakukan Ops Bersih hari ini.

Pegawai BKKM menunjukkan keadaan troli karat serta berminyak yang digunakan untuk menyimpan mi sanggul yang telah siap diproses.

Tambah Mohd Wazir, pihaknya akan memanjangkan isu mengenai tahap kebersihan kilang mi sanggul berkenaan kepada pihak bertanggungjawab agar penggunaan sijil-sijil tersebut ditarik balik.

“Kita memandang serius perkara ini dan penggunaan logo itu mesti ditarik balik kerana mengelirukan pengguna, sehubungan itu kita syorkan syarikat lain yang mempunyai sijil halal dan MeSTI supaya sentiasa menjaga tahap kebersihan.

Pemilik premis memiliki sijil halal dan MeSTI yang sah.

“Satu kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis dan kilang berkenaan diarahkan tutup berkuat kuasa hari ini,” kata Mohd Wazir. – MalaysiaGazette