Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyelamatkan mangsa yang terperangkap banjir akibat hujan berterusan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Seksyen 25 Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) disifatkan gagal dalam menguruskan bencana banjir yang sedang melanda negara kini.

Justeru itu, Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd Nor berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad sepatutnya bertanggungjawab dan melepaskan jawatannya yang dilihat menjadi beban kepada kerajaan.

“Kita tak boleh menerima apabila dia kata NADMA hanya urus pampasan yang tidak terlibat dalam kerja kejadian bencana alam yang sedang terjadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Faizan mengulas kenyataan Abdul Latiff bahawa NADMA tidak terlibat secara langsung dalam urusan kejadian bencana alam seperti banjir di peringkat negeri.

Pada minggu lalu, Abdul Latiff berkata, NADMA hanya menjaga urusan dalam pemberian pampasan kepada mangsa selepas mendapat maklumat dan senarai daripada negeri.

Dalam pada itu, Faizan berkata, NADMA sebagai satu agensi peneraju pengurusan bencana sepatutnya mengaturkan segala gerak kerja dan koordinasi semua pihak yang terlibat dalam pengurusan bencana malah perkara itu juga gagal dilaksanakan NADMA.

“Kalau setakat pampasan, itu syarikat insurans boleh buat dan rakyat tengah tunggu apa pegawai tinggi dalam NADMA sedang buat untuk urus banjir ini,” katanya lagi.

Menurut laporan Bernama, jumlah mangsa di Selangor dan Pahang sekatat hari ini mencecah 61,000 orang yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Selangor turut mencatatkan sejumlah 32,044 mangsa banjir yang kini telah ditempatkan di 162 PPS di sembilan daerah, di negeri ini setakat 10 pagi tadi.

Selain itu, Perak dan Negeri Sembilan turut mencatatkan peningkatan mangsa banjir, namun jumlah itu tidak melebihi 1,000 orang. – MalaysiaGazette