Majlis pembukaan NSK Grocer di Quill CIty Mall disempurnakan Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – NSK Holdings Sdn. Bhd. (NSK) membuka cawangan pasar raya premium pertama dikenali NSK Grocer di Quill City Mall dalam usaha memperluaskan kemudahan kepada penduduk di kawasan urban untuk mendapatkan barangan pada harga berpatutan.

Pengerusi Bukan Eksekutif NSK Grocer, Tan Sri Mohd Shariff Omar berkata, pembukaaan pasar raya itu selari dengan inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat di ibu kota bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga yang lebih rendah.

Menurut beliau, pihaknya turut merancang untuk membuka empat lagi cawangan NSK Grocer pada tahun depan bergantung kepada lokasi yang sesuai di seluruh negara.

“Kami akan sentiasa komited untuk memastikan semua barang yang dipamerkan berkualiti tinggi dan segar bagi menjamin kepuasan pelanggan dan menjadikan setiap pembelian berbaloi dengan wang dibayar.

“Sempena hari pembukaan hari ini, kami juga menawarkan ayam segar pada harga serendah RM1 seekor kepada 1,000 pelanggan awal sebagai ganjaran buat mereka,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Majlis pembukaan NSK Grocer itu disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid.

Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin.

Selain promosi, jualan ayam segar pada harga RM1, turut ditawarkan beras lima kilogram pada harga RM1 dengan setiap pendaftaran kad ahli NSK Grocer.

Pasar raya NSKJ turut menyertai pelancaran Program Jualan Keluarga Malaysia peringkat nasional baru-baru ini.

Sementara itu, Ariffin berkata, nama NSK adalah tidak asing dalam kalangan pengguna mahu pun KPDNHEP kerana pasar raya borong itu merupakan rakan strategik kementerian yang banyak memberi komitmen dalam menjayakan inisiatif-inisiatif bersama.

Jelas beliau, antaranya termasuk menyertai pelancaran Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) Pantai Dalam, Kuala Lumpur baru-baru ini dan seterusnya menyertai PJKM di peringkat nasional.

“Selain itu, NSK juga telah bekerjasama dengan KPDNHEP dalam pelbagai program Kementerian termasuklah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) serta Program Food Bank KPDNHEP di seluruh negara,” katanya.

Ariffin menambah, sehingga kini, sebanyak 12 pasar raya telah menyertai PJKM peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan ia mendapat sambutan yang baik daripada pengguna.

Beliau berkata, pihaknya turut berharap program-program jualan sebegitu dapat membantu sektor peruncitan dan juga pengguna.

“KPDNHEP mengingatkan agar rakyat supaya sentiasa mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka sebagai pengguna, manakala peniaga pula haruslah mengamalkan sikap beretika dalam menjalankan perniagaan,” katanya. – MalaysiaGazette.